- Iklan -
Berita

Pemain industri komited untuk pastikan kestabilan bekalan beras putih tempatan, kata kementerian

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata program khas sedang dilaksanakan di mana pengilang meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan sebanyak 20% untuk pasaran domestik bagi tempoh setahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata langkah sedang diambil untuk memastikan bekalan beras putih tempatan di negara ini. Gambar: Pexels
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata langkah sedang diambil untuk memastikan bekalan beras putih tempatan di negara ini. Gambar: Pexels

Pengilang padi, pemborong beras dan peruncit memberikan komitmen melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan (PKBPT) di seluruh negara bagi menjamin kestabilan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata persetujuan itu dinyatakan pada sesi libat urus KPKM bersama pemain industri beras negara di Putrajaya hari ini bagi membincangkan secara terperinci berkenaan BPT dan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI).

PKBPT sedang dilaksanakan dalam dua fasa bermula pada 8 Sep dan 15 September ini, dan melalui PKBPT, pengilang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 20% bekalan BPT (23,000 tan metrik sebulan) untuk pasaran dalam negara bagi tempoh satu tahun.

“Langkah intervensi ini bertujuan bagi memastikan bekalan BPT dapat memenuhi keperluan pengguna dan menjamin kestabilan bekalan BPT di pasaran,” kata KPKM dalam kenyataan hari ini sempena sesi libat urus yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali. 

Sesi libat urus itu turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan lima pemborong beras utama serta 11 pasar raya besar. 

Menerusi PKBPT itu, KPKM berkata FAMA dan LPP turut dilibatkan bagi tujuan pengedaran BPT kepada kumpulan sasar terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya.

Pemantauan dan penguatkuasaan keseluruhan rantaian PKBPT itu akan dilakukan oleh KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dengan kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguat kuasa, KPDN dalam Op Jamin, katanya.

Sebelum ini, KPKM telah mengadakan sesi libat urus melibatkan pasar raya pada 20 Julai lepas, pengilang padi dan pemborong beras pada 28 Ogos lepas serta Sesi Dialog Belanjawan 2024 Subsektor Padi dan Beras Negara pada 7 September lepas.

Isu kekurangan bekalan beras negara dan kenaikan harga beras import mendapat perhatian Ahli Parlimen pada sesi perbahasan hari kedua usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.

Mereka berpendapat masalah itu perlu ditangani dengan kadar segera bagi meredakan keresahan dalam kalangan rakyat memandangkan beras ialah makanan ruji di negara ini.

Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menampung kekurangan 38% bekalan beras untuk kegunaan tempatan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.