- Iklan -
Berita

Bicara kes pecah amanah RM6.6 bilion Najib, Irwan mula Jun tahun depan

Mahkamah Tinggi menetapkan 30 hari antara 4 Jun dan 31 Julai untuk perbicaraan kedua-duanya atas pertuduhan melibatkan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.
Bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

Perbicaraan kes pecah amanah Najib Razak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ditetapkan selama 30 hari bermula Jun dan Julai 2024.

Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon tarikh perbicaraan untuk kes itu ditetapkan pada tahun hadapan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 4 Jun hingga 27 Jun dan 2 Julai hingga 31 Julai 2024.

“Sepanjang bulan Jun dan Julai ditetapkan untuk perbicaraan kecuali Jumaat,” kata hakim.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pendakwaan memaklumkan berkenaan status representasi yang dikemukakan Najib dan Irwan untuk menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapi mereka. Bagaimanapun perkara itu tidak dimaklumkan semasa prosiding kes itu.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 70, dan Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). 

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon perbicaraan itu bermula pada Julai tahun depan manakala peguam Kumaraendran yang mewakili Irwan mahu tarikh perbicaraan awal pada Januari 2024 memandangkan kes itu memberi kesan kepada anak guamnya selama hampir lima tahun dan menyebabkan tekanan psikologi. 

“Saya juga mahu mahkamah mempertimbangkan kesannya kepada anak guam saya. Beliau tidak dapat meninggalkan negara ini atau mengembangkan kerjayanya kerana pertuduhan ini,” kata Kumaraendran. 

Selain itu, Shafee turut membangkitkan isu memo dalaman setebal 12 muka surat yang dikatakan dihantar oleh ketua pendakwa raya dalam kes tersebut, Jamil Aripin kepada Tommy Thomas yang merupakan peguam negara ketika itu.

“Ini telah menjadi perkara awam kerana ia (memo) berada dalam domain awam. Dalam dokumen itu, sepasukan tujuh pendakwa raya (DPP) dan lima pegawai penyiasat sebulat suara memutuskan bahawa kelima-lima pertuduhan itu tidak memenuhi syarat minimum untuk pertuduhan CBT (pecah amanah) dibawa ke mahkamah dan bagi mendapatkan kes prima facie terhadap mereka (Najib dan Irwan).

“Itu adalah pendapat yang sangat mendukacitakan bagi pihak pendakwaan untuk pergi lebih jauh. Untuk membuktikan pembelaan kami, kami meminta DPP mengambil pendirian sama ada dokumen yang bocor ini adalah benar, wujud dan tulen,” katanya sambil menambah memo itu relevan kerana pembelaan Najib adalah kes penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan politik terutamanya apabila Thomas sendiri berkata beliau adalah lantikan politik.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata mahkamah bukanlah forum yang betul untuk membangkitkan isu memo yang didakwa bocor itu.

Pada masa ini, Saifuddin turut berkata bahawa beliau tidak mempunyai komen mengenai memo yang bocor itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shafee berkata beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengingatkan mereka mengenai representasi yang difailkan Najib.

“Perbicaraan ditetapkan pada Jun dan Julai… Representasi yang dihantar oleh kedua-dua pihak masih belum mendapat jawapan setakat ini,” katanya.

Shafee seterusnya menyatakan mereka akan memanggil Thomas untuk memberi keterangan dalam kes itu untuk menyokong pembelaannya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.