- Iklan -
Berita

Larang warga asing beli beras tempatan tidak selesaikan masalah, ketua Pemuda Umno diberitahu

Pemilik rangkaian pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin berkata ia adalah idea yang tidak praktikal dan satu bentuk mendiskriminasi.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli ekonomi berkata cadangan untuk menghalang warga asing membeli beras tempatan tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang. Gambar: Bernama
Ahli ekonomi berkata cadangan untuk menghalang warga asing membeli beras tempatan tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang. Gambar: Bernama

Taikun perniagaan Ameer Ali Mydin mengecam saranan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh agar beras tempatan hanya dijual kepada warga Malaysia di tengah-tengah kenaikan harga makanan ruji itu susulan kekurangan bekalan di pasaran domestik.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata cadangan Akmal tidak akan menangani masalah yang dihadapi.

Sebaliknya, beliau berkata, ia akan merumitkan operasi dan menambah beban kerja bagi pekerja di pasar raya dan kedai runcit yang perlu menyemak setiap kali pembelian dibuat.

“Dari segi operasi memang susah tak praktikal langsung," kata Ameer, yang sebelum ini mengkritik kerajaan berhubung perkara itu.

“Takkan pekerja kaunter nak minta pasport, kad pengenalan, ini kerja imigresen.

“Lagi satu barang subsidi ini bukan hanya beras sahaja tapi telur ada, tol pun subsidi juga. Jadi jangan kita tengok bila ada masalah dan kerajaan tak dapat nak atasi kemudian susahkan rakyat.” 

Akmal berkata pada 14 September rakyat tempatan perlu diutamakan berbanding warga asing dalam soal beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan.

“Jika kementerian (pertanian dan keterjaminan makanan) tidak boleh membenarkan untuk seluruh Malaysia, sekurangnya dibenarkan dalam Melaka sahaja,” kata exco Melaka itu dalam satu hantaran di Facebook.

Kenaikan harga beras import yang diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada 1 September daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik menyebabkan bekalan beras tempatan semakin berkurangan. 

Awal bulan lepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan had pembelian maksimum 100kg beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu berkuatkuasa serta-merta sebagai langkah mengatasi kekurangan bekalan makanan asas tersebut.

Pada 12 September, Ameer yang juga pemilik rangkaian pasar raya besar Mydin, berkata kerajaan nampaknya tidak belajar daripada kegagalan masa lalu, menyifatkan langkah untuk menetapkan harga siling sebagai cubaan untuk "menyenangkan rakyat".

"Malapetaka di luar sana. Kerajaan entah bagaimana mengulangi kesilapan yang sama. Entah bagaimana kerajaan ini tidak belajar," katanya kepada stesen radio BFM.

Mengulas cadangan Akmal itu, Ameer turut berkata melarang warga asing membeli beras tempatan adalah satu mesej yang salah dan mendiskriminasikan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata pekerja asing juga menyumbang kepada ekonomi negara dan majikan mereka membayar levi kepada kerajaan.

“Sebab ini makanan asas saya tak rasa perlu ada diskriminasi.

“Lagipun pekerja asing mereka bukanlah gaji besar. Ada cara lain boleh dibuat,” katanya.

Ameer berkata beliau banyak kali membangkitkan cadangan mengapungkan harga subsidi termasuk beras.

“Apungkan harga adalah antara penyelesaian. Selain itu boleh juga buat dengan lebihan subsidi kos bersasar boleh bantu B40 dengan beri bantuan tunai seperti program Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Cara ini lebih fokus kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi, Irwan Shah Zainal Abidin berkata isu utama pada ketika ini adalah masalah kenaikan harga beras yang harus dikawal oleh kerajaan.

“Kerana harga beras import naik jadi ia secara tidak langsung beri kesan kepada permintaan beras tempatan,” tambah Irwan, pensyarah Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Permintaan beras tempatan ini lebih daripada penawaran kerana harganya yang murah.

“Dan peniaga pula ada setengah yang mengambil kesempatan hanya mengutamakan beras import supaya mereka mendapat lebih keuntungan.

“Sebab itu saya rasa tak timbul kalau kita nak hadkan pembelian hanya untuk rakyat Malaysia ini bukan macam nak kawal harga minyak.”

Irwan juga berkata kerajaan perlu mengambil langkah proaktif seperti memperbanyakkan pemberian bantuan bagi mengurangkan beban rakyat yang berdepan kesan kenaikan harga barang makanan.

Selain itu katanya bagi langkah jangka masa panjang kerajaan perlu memperbaiki pengeluaran tahap sara diri (SSL) bagi beras, tanpa perlu mengharapkan kebergantungan beras import.  

“Bagi saya mengehadkan pembelian untuk jangka masa pendek bolehlah tapi sejauh mana keberkesanannya.

“Macam mana pun negara kita tingkatkan pengeluaran beras,” katanya.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Ahmed Razman Abdul Latiff berkata cadangan untuk mengehadkan pembelian beras tempatan kepada warga Malaysia wajar namun tetap mempunyai kelemahan.

“Saya melihat cadangan itu ada baiknya.

“Cuma tidak harus lupa bahawa masalah kita ialah dari segi pelaksanaan dan pemantauan kerana akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyimpan beras tempatan dan menjual kepada warga asing untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya. 

Manakala penganalisis ekonomi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Abu Suffian Yaacob menjelaskan ramai pihak sudah meramalkan akan berlaku krisis beras sejak berapa bulan yang lepas.

Namun katanya tidak ada tindakan proaktif yang diambil kerajaan biarpun sudah diberi bayangan.

Beliau juga senada meramalkan harga beras import akan terus naik memandangkan banyak negara pengeksport akan mengurangkan jualan mereka untuk menjaga bekalan dalam negara mereka.

“Kerana itu kerajaan perlu bekerjasama dengan pengeluar beras untuk menstabilkan harga beras tempatan supaya bekalan akan jadi stabil,” katanya.