- Iklan -
Berita

Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia akan dibentang awal tahun depan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sudah tiba masanya untuk mengkaji semula undang-undang, bagi memastikan peruntukan itu mencukupi untuk menangani kesalahan, terutamanya jenayah siber.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. Gambar: Bernama

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijangka membentangkan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia di Parlimen, awal tahun hadapan.

Timbalan menteri berkaitan Teo Nie Ching berkata KKD menerusi agensi-agensi di bawahnya sedang mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia kerana akta tersebut digubal pada 1998.

Justeru, beliau berkata kementerian akan melaksanakan tadbir urus dengan pihak berkepentingan berhubung kajian dan pindaan semula akta berkenaan.

 "Jadi KKD rasa sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula dan pastikan bahawa peruntukan yang kita ada sekarang mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa jenis jenayah khasnya yang berlaku di alam siber.

"Kalau tidak sempat bentang tahun ini, kita akan bentang di Parlimen awal tahun hadapan," katanya kepada pemberita selepas tayangan "MALBATT: Misi Bakara" di TGV AEON Mall Kulai, di Kulai, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengenai undang-undang Malaysia yang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan menerusi perisian dan peranti komputer.

Teo berkata terdapat bukti bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) disalah guna bagi tujuan penipuan, apabila suara atau wajah seseorang boleh ditiru menggunakan AI untuk memperdaya ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

Katanya pindaan yang akan dibuat termasuk meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan.

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai meluangkan masa beramah mesra dengan kira-kira 250 orang penduduk Kulai sebelum menonton filem tersebut.

Sebelum ini, Razarudin dipetik sebagai berkata kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi AI.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.