Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting dipilih sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas mendapat sokongan majoriti daripada Pakatan Harapan (PH) dan Umno, sekali gus memenuhi tuntutan DAP sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lalu.
Lau Weng San mendapat 34 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Fuad Mohd Salleh, yang mendapat 22 undi, mencerminkan komposisi dalam 56 ahli DUN di mana PH dan Umno bergabung untuk membentuk kerajaan susulan PRN pada 12 Ogos lalu.
Sementara itu, Kamri Kamaruddin dari PKR dipilih sebagai timbalan speaker.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menuntut jawatan speaker diberikan kepada calon daripada parti itu sebagai pampasan kerana bersetuju memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di Dusun Tua.
"Perdana menteri telah bersetuju dengan syarat itu," kata Loke sebelum pilihan raya.
DUN Selangor ketika ini menyaksikan blok pembangkang terbesar dalam sejarah, yang kesemuanya adalah wakil Melayu, mencerminkan defisit sokongan pengundi Melayu terhadap PH dan gabungan Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, hanya 16 wakil rakyat Melayu daripada 34 Adun di blok kerajaan, termasuk dua daripada Umno.
Ini mendorong penganalisis memberi amaran tentang persepsi bahawa orang bukan Melayu mendominasi kerajaan negeri, hujah yang sukar dipertikaikan oleh pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kedua-dua gabungan itu kehilangan sokongan Melayu di seluruh negara.
Ia juga sebahagian besarnya dilihat sebagai sebab Menteri Besar Amirudin Shari memastikan ahli Exconya didominasi oleh Adun Melayu.
Felo kanan di Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata sebarang jawatan yang lebih penting untuk DAP hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa parti itu mendominasi pentadbiran kerajaan negeri, memberi amaran ia boleh membawa kepada kekalahan PH pada pilihan raya umum akan datang.
“Ini sudah tentu akan menjarakkan lagi orang Melayu, kerana salah satu faktor orang Melayu menolak PH dalam PRU lepas kerana adanya DAP dalam gabungan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.
Loke, yang juga menteri pengangkutan, turut mengumumkan seorang lagi ahli DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, untuk jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, pelabuhan terbesar negara yang diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan.
Penganalisis Shamsul Amri Baharuddin berkata tuntutan DAP adalah munasabah memandangkan jumlah kerusi yang disandangnya.
Namun beliau berkata langkah itu hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa PKR dan presidennya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dikemudi oleh DAP.
“Tanpa DAP bahawa PKR tinggal terkontang-kanting dan terapung macam teratai di dalam kolam,” katanya.
Seorang lagi pemerhati Ahmad Atory Hussain turut bersetuju.
"15 kerusi yang dimenangi oleh DAP dilihat sebagai yang paling kuat dan paling stabil.
“Inilah sebabnya ia boleh membuat tuntutan sedemikian."