- Iklan -
Berita

PN gesa perkemas proses pemilihan speaker DUN Selangor

Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali berkata ini kerana pekeliling yang menyatakan speaker boleh dipilih daripada individu bukan ahli dewan negeri tidak dimasukkan dalam peraturan tetap.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali.
Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali menggesa proses pemilihan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diperkemas selepas bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banting, Lau Weng San dipilih menjadi speaker hari ini.

Katanya, pekeliling bertarikh 22 Ogos menyatakan speaker boleh dipilih daripada individu yang bukan ahli dewan negeri seperti mana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Selangor 1959.

"Namun apabila saya merujuk perkara 4 dalam peraturan tetap DUN, perkara ini tidak dimasukkan dalam peraturan tetap. 

“Ia berbeza dengan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang mana individu yang layak dipilih disebut dengan jelas dalam peraturan Dewan Rakyat," katanya.

Sidang DUN Selangor pagi tadi menyaksikan proses pengundian speaker yang mana Lau mendapat 34 undi berbanding calon speaker daripada Perikatan Nasional (PN) Mohd Fuad Mohd Salleh yang menerima 22 undi.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju dengan syarat yang diberikan DAP untuk memberikan jawatan speaker kepada parti tersebut sebagai ganti memberikan kerusi Dusun Tua kepada Umno.

Setiausaha DUN J Gayathri memaklumkan kedua-dua calon menandatangani borang persetujuan dilantik speaker setelah Azmin membangkitkan mengenai isu kesediaan calon-calon berkhidmat sebagai speaker.

Keadaan DUN agak hangat apabila Adun Sijangkang Ahmad Yunus Hairi dari PN pula mempersoalkan nombor pada kertas undi calon yang dikemukakan kepada wakil-wakil rakyat. 

Kertas undi memaparkan nombor satu bagi Lau dan nombor dua kepada Fuad.

Azmin yang juga Adun Hulu Kelang mencadangkan agar kertas pemilihan speaker pada masa akan datang tidak perlu meletakkan nombor kerana ia tidak sama dengan pengundian pilihan raya. 

Kekecohan turut berlaku apabila pengiraan undi dijalankan selepas Azmin mempersoalkan proses kiraan undi sebelum dibantah oleh Exco Selangor Ng Suee Lim yang juga Adun Sekinchan. 

"Persoalan kami bolehkah kami melantik ‘counting agent’ untuk melihat proses (kiraan). 

“Kalau tidak dipersetujui dengan ‘counting agent’, sekurang-kurangnya setiausaha dewan angkat kertas untuk kita lihat," katanya.