Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan pelanggaran sebuah lori dengan beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di Putrajaya hari ini.
Kejadian kira-kira 10.15 pagi itu melibatkan enam kereta, dua lori, tiga motosikal dan sebuah motosikal polis trafik, dengan satu daripada lori terlibat dipercayai melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebuah lori yang datang dari arah belakang telah mengubah laluan dari laluan tengah ke laluan kiri dan merempuh kenderaan di hadapan.
Beliau berkata dua lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang manakala beberapa mangsa turut cedera.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya ketika dihubungi Bernama berkata dua jentera bersama sembilan anggota digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.24 pagi.