- Iklan -
Berita

MalaysiaNow lapor perkara benar, kata ahli Parlimen saksikan kekecohan di Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menyelar 'budaya ugut-mengugut terhadap portal berita'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan hari ini mempertahankan laporan MalaysiaNow mengenai kekecohan di Dewan Rakyat dua hari lalu, mengatakan penceritaan insiden itu mencerminkan apa yang berlaku di Parlimen.

Dalam satu kenyataan menjawab ugutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Wan Saiful berkata ia kelihatan seolah-olah agensi itu mahu memaksa media menyiarkan laporan palsu.

Beliau juga mengecam apa yang disebutnya "budaya ugut-mengugut terhadap portal berita" yang menurutnya semakin menjadi adalah perkara biasa di bawah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Bukan setakat ugut, tapi hingga ada kacau ganggu dalam editorial,” tambahnya.

Episod di Dewan Rakyat menyaksikan perang mulut dalam kalangan wakil rakyat selepas Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin tidak puas hati dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau terlibat dalam pendakwaan rasuah. 

Tuntutan berkali-kali Radzi supaya Anwar menarik balik tuduhannya itu ditolak, manakala Speaker Johari Abdul berkata tiada isu jika perdana menteri yakin dengan apa yang dinyatakannya.

Ini menyebabkan Radzi berang dengan mengatakan bahawa beliau juga boleh menyatakan beliau yakin bahawa Anwar, yang juga ahli parlimen Tambun, adalah seorang peliwat, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat oleh pemimpin PKR itu sebelum ini.

"Kalau kata yakin, saya kata saya yakin Tambun peliwat, saya yakin Tambun peliwat," kata Radzi, sebelum rakan-rakan ahli parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional bertindak keluar sebagai membantah speaker yang enggan menuntut Anwar menarik balik kenyataannya.

SKMM kemudiannya menuntut MalaysiaNow meminda atau menurunkan dua laporan bertajuk, "Blok PN keluar, 'Tambun peliwat' bergema di Dewan Rakyat selepas PM serang Radzi" dan versi Inggeris, "Pandemonium, walkout after PM refuses to retract accusation against Putrajaya MP", serta catatan Twitter pada dua artikel tersebut. 

Suruhanjaya itu memberikan tempoh dua jam kepada MalaysiaNow untuk berbuat demikian, dengan mengatakan portal itu akan berdepan "tindakan penguatkuasaan lanjut". 

Menurut SKMM, artikel itu “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”.

SKMM bagaimanapun tidak memberikan versinya mengenai insiden itu.

Wan Saiful yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu, berkata SKMM tidak sepatutnya menjadi "budak suruhan Anwar" untuk menyekat kebebasan media.

“Jika ini berterusan, kebebasan media di Malaysia menuju ke arah kegelapan,” tambahnya.

Wan Saiful juga berkata aduannya kepada SKMM bertarikh 12 Julai masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Tetapi kalau menyentuh Anwar, kelajuan kerja SKMM tiada tandingan. 

“Bagaimana rakyat mahu percaya jika sikap berat sebelah terlalu jelas?”

Dalam pada itu, Radzi berkata dokumen "Kita Boleh" yang merupakan manifesto Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 menyatakan komitmennya untuk memastikan kebebasan media dan hak bersuara.

“Tapi bila jadi kerajaan, laporan media yang menyentuh apa yang berlaku di dalam sidang Parlimen pun kena tapis.

“Inikah menjamin kebebasan media?"