- Iklan -
Berita

Keputusan rayuan sultanah Terengganu terhadap Rewcastle-Brown 12 Disember

Sultanah Nur Zahirah sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak saman fitnah ke atas editor Sarawak Report dan dua yang lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (kiri) dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.
Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (kiri) dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Disember untuk memberikan keputusannya terhadap rayuan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berhubung saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hadhariah Syed Ismail, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam A. Vishu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah dan peguam Americk Sidhu yang mewakili Rewcastle-Brown serta dua responden yang lain hari ini.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk memberikan keputusan kami,” kata Hakim Hadhariah yang mempengerusikan panel itu.

Sultanah Nur Zahirah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt tahun lepas yang menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Baginda mendakwa responden (Rewcastle-Brown, Gerakbudaya Enterprise dan Vinlin Press) telah memfitnah dalam sebuah buku bertajuk “The Sarawak Report-The inside IMDB Expose”. 

Dalam prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian, Vishu berkata hakim Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan terkhilaf apabila memutuskan bahawa kenyataan dalam buku itu bukan memfitnah Sultanah Nur Zahirah.

Beliau berkata responden gagal mengemukakan sebarang keterangan untuk membuktikan kebenaran kenyataan tersebut dan gagal mengesahkan ketepatan kenyataan tersebut.

Vishu berkata Sultanah Nur Zahirah perlu diberikan award ganti rugi kerana telah menunjukkan beratnya liabiliti dan kerosakan yang dilakukan terhadap reputasi Sultanah apabila lebih 2,000 naskhah buku itu terjual.

Mahkamah juga perlu mengambil kira bahawa Sultanah Terengganu adalah Canselor di dua universiti dan terlibat dalam kerja-kerja amal dan baginda juga pernah menjadi Raja Permaisuri Agong Malaysia, katanya.

Beliau berkata walaupun responden membuat pindaan kepada buku itu melibatkan kenyataan yang disangkal itu, responden menggantikan rujukan Sultanah Nur Zahirah dengan adinda Sultan, reputasi baginda (Sultanah Nur Zahirah) masih tidak dibersihkan kerana tiada permohonan maaf atau penarikan balik yang boleh membatalkan sepenuhnya kemudaratan yang telah dilakukan oleh fitnah tersebut. 

Americk Sidhu berkata hakim Mahkamah Tinggi betul dalam keputusannya semasa menolak tuntutan Sultanah Nur Zahirah itu.

Beliau berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi mempertimbangkan isu itu secara terperinci sebelum mendapati kandungan petikan dalam buku itu tidak mungkin memfitnah Sultanah Nur Zahirah.

Americk Sidhu berkata jika mahkamah rayuan bercadang untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah, pemberian ganti rugi sepatutnya nominal.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman itu pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan tersebut antara lain bermaksud baginda terlibat dalam rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu, selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.

Baginda mendakwa kenyataan itu bermakna baginda telah membantu Jho Low menjadi penasihat TIA.

Dalam pernyataan tuntutannya, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap responden dan juga perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah yang didakwa itu serta pencetak berhenti mencetak buku tersebut.