- Iklan -
Berita

Zaid disoal siasat berhubung siaran media sosial mengenai DNAA Zahid

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin turut dipanggil mengenai kenyataannya sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram di Johor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim. Gambar: Bernama
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim. Gambar: Bernama

Polis semalam mengambil keterangan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim berhubung kenyataan berkaitan isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa dibuat di media sosial miliknya pada 30 Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata Zaid hadir ke Bukit Aman pada 10 pagi dan selesai memberi keterangan pada 11.15 pagi ini.

Beliau berkata polis mengambil sedikit masa sebelum memanggil Zaid untuk diambil keterangan kerana perlu memastikan beberapa perkara terlebih dahulu.

“Kita perlu mengesahkan dahulu akaun pemilik adalah benar milik orang yang disyaki sebab itu ia ambil masa sedikit,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur hari ini.

Shuhaily berkata siasatan terhadap Mohd Zaid dijalankan mengikut Seksyen 223 Akta Hasutan.

Terdahulu, polis turut mengambil keterangan Muhyiddin Yassin berhubung kenyataannya yang didakwa berbau perkauman semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor baru-baru ini, di pejabat bekas perdana menteri itu di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mengulas mengenai perkara itu, Shuhaily berkata kedua-dua individu terbabit memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi itu dijalankan.

“Semua soalan telah dijawab dan polis akan menyiasat, seterusnya akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengenai perhimpunan tanpa permit di ibu negara Sabtu lepas, Shuhaily berkata kertas siasatan berhubung perkara itu akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara esok.

Beliau berkata tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung perhimpunan itu melibatkan 29 orang secara keseluruhan.

“Tiga kertas siasatan itu melibatkan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam,” katanya.

Sementara itu mengenai siasatan melibatkan 3R (raja, agama dan bangsa), Shuhaily berkata polis tidak pernah pilih kasih terhadap mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan.

“Isu 3R menjadi hangat disebabkan adanya teknologi komunikasi yang boleh mencapai kepada ramai orang. Justeru, kita melihat perkara ini boleh menggugat keselamatan negara sekiranya disalah tafsirkan oleh orang ramai.

“Isu 3R yang kita siasat ini semuanya ada di dalam Perlembagaan Persekutuan dan saya yakin semua orang tahu akan limitasi. Tidak ada unsur-unsur memilih siapa yang kita akan siasat dan sebagainya,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.