- Iklan -
Berita

Pemimpin DAP pertahan Lee selepas diserang petik ayat al-Quran

Ia susulan kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Md Nor yang membandingkan tindakan Howard Lee dengan bekas gabenor Jakarta.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tangkap layar video Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee, di TikTok yang menggesa umat Islam menyokong kerajaan ketika ini.
Tangkap layar video Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Howard Lee, di TikTok yang menggesa umat Islam menyokong kerajaan ketika ini.

Seorang pemimpin DAP mempertahankan seorang ahli Parlimen dari partinya yang mengulas dan memetik ayat al-Quran untuk menggesa orang Melayu di negara ini supaya menyokong kerajaan sekarang, selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membandingkan kes itu dengan seorang bekas gabenor Jakarta bukan Islam yang dipenjarakan atas perbuatan serupa tidak lama dahulu. 

Abdul Aziz Bari berkata beliau tidak menganggap Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee dari DAP melanggar mana-mana undang-undang kerana beliau tidak terikat dengan undang-undang Islam.

“Saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan Lee kerana dia hanya menyatakan pendapatnya," kata bekas pensyarah undang-undang itu kepada portal berita pro-kerajaan, Malaysiakini.

“Apa pun, dia tidak tertakluk kepada undang-undang Islam negara ini."

Lee memuat naik video di TikTok, di mana beliau memetik ayat 59 Surah an-Nisa, yang antara lain berbunyi: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulul Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu.”

"Ayat suci ni. Hakikatnya, semua propaganda nak angkat Islam, angkat agama, bangsa dan negara atas nama agama, semuanya ikut deme (kamu), semata-mata sebenarnya nak raih undi," kata Lee dalam video berdurasi empat minit itu.

Beliau membidas PAS dan menuduh presidennya Abdul Hadi Awang menunggang agama, sambil memetik ayat untuk memberitahu umat Islam tentang kewajipan mereka untuk menyokong kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Malaysia Madani yang berteraskan prinsip kepelbagaian dan kemajmukan bangsa, keturunrnan dan budaya, jelas menjadi ancaman kepada Hadi dan Hadi tak boleh terima yang orang lain boleh menghidupkan perpaduan macam Madinah al-Munawwarah," katanya, merujuk kepada pentadbiran Islam yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad.

Lee menuduh Hadi dan pemimpin PAS yang mempersoalkan kerajaan sekarang sebagai "Khawarij", label yang sering digunakan pada pelampau Islam yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Laporan polis dibuat bagi menyiasat video Lee kerana menggunakan ayat al-Quran. 

Ketika laporan ini ditulis, Lee nampaknya sudah menurunkan klip video tersebut dari akaun TikToknya.

Klip video itu menimbulkan kritikan pedas terhadap pemimpin DAP itu di media sosial malah pemimpin PAS kebanyakannya mengingatkan Lee supaya tidak mengulas al-Quran tanpa tauliah. 

Sanusi dalam ucapannya di Pahang baru-baru ini membandingkan tindakan Lee dengan tindakan Basuki Tjahaja Purnama dari Indonesia, bekas gabenor Kristian Jakarta yang dihukum penjara selepas beliau memetik ayat al-Quran untuk mengecam pengkritiknya. 

Sanusi berkata tindakan Basuki yang terkenal dengan panggilan Ahok cuba menggunakan ayat al-Quran untuk alasan politik menyebabkan beliau dipenjara atas tuduhan menghina agama Islam.

"Ini bahaya liberalisme, mengenakan semua sendi-sendi yang kita ada, sendi-sendi yang mengukuhkan kedudukan Islam dan Melayu, keharmonian dan kesatupaduan di Malaysia. Pasal Cina pun, bukan Islam pun, hang boleh baca dan ulas ikut suka hang. Ugama kita telah diliberalkan. 

"Saya pun tak berani, bila masa saya ulas Quran, pasal saya bukan bidang itu, walaupun saya boleh kerana saya Islam dan mengaji sedikit sebanyak, tetapi oleh kerana saya tidak ada disipin ilmu yang khusus untuk mengulas ayat Quran dan hadis, maka saya tidak buat," kata Sanusi.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi