Permintaan terhadap bekalan beras putih tempatan meningkat hampir 50% di Kelantan susulan kenaikan harga beras import sejak minggu lepas.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kelantan Aimi Jusoh berkata lonjakan permintaan itu juga didorong aktiviti pembelian panik selain kualiti beras tempatan yang lebih baik dan bebas kimia.
"Dalam tempoh 20 tahun sebelum ini, permintaan beras tempatan konsisten pada paras sama setiap tahun, namun lonjakan permintaan berlaku hampir 50% sejak beras import mengalami kenaikan harga.
"Sebelum ini, masyarakat Kelantan lebih menggemari beras import dari Thailand kerana ia mudah didapati selain hanya terletak berdekatan di sempadan Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Isu Beras Putih Tempatan dan Pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan Secara Besar-besaran di PPK Kangkong, di Pasir Mas hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kawal Selia Padi Beras Kelantan Mohamed Fadhli Abdul Azid.
Aimi yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kangkong berkata beras putih tempatan yang dikeluarkan itu juga dijual pada harga yang jauh lebih murah iaitu di bawah paras harga kawalan kerajaan iaitu RM13 bagi kampit beras lima kilogram (kg) manakala RM25.50 untuk 10kg.
"Terdapat 34 buah PPK di seluruh Kelantan dengan keseluruhan 2,400 hektar keluasan tanah sawah mampu membekalkan sejumlah 90,000 tan metrik padi semusim. Jadi, kita yakin permintaan itu dapat dipenuhi tanpa sebarang masalah," katanya.
Sementara itu, Mohamed Fadhli berkata bekalan beras putih tempatan juga diyakini mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang musim tengkujuh kerana tanaman musim kedua padi bagi 2023 bakal dituai hujung bulan ini.
"Lima syarikat pembekal dan pengedaran beras putih tempatan juga telah dilantik termasuk PPK Kangkong bagi memastikan bekalan mencukupi dengan penyediaan 200 metrik tan beras sebulan, sekali gus menyelesaikan isu kekurangan sumber karbohidrat itu di negeri ini," katanya.