- Iklan -
Berita

PRK Jepak pada 4 November

Pencalonan akan diadakan pada 21 Oktober, dan pengundian awal pada 31 Oktober.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang pengundi muda memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi bagi menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos.
Gambar fail seorang pengundi muda memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi bagi menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak pada 4 November depan.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 21 Oktober dan 31 Oktober.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN itu. 

PRK DUN Jepak perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Talib, 72, meninggal dunia pada kira-kira pukul 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada 14 September.

Talib ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Azmi berkata tempoh berkempen bagi PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Oktober sehingga jam 11.59 malam, 3 November.

Beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRK DUN Jepak itu adalah yang dikemas kini sehingga 15 September, serta mengandungi 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 polis.

"Pelaksanaan PRK DUN Jepak ini dianggar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta," katanya.

Azmi  berkata pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi PRK DUN Jepak ialah di Balai Raya Kampung Jepak, Bintulu. 

Beliau berkata SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu oleh tiga orang penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRK DUN Jepak itu dan 446 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

"Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti berkempen sepanjang PRK berkenaan," katanya dan menambah PP-KPR itu akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

Beliau berkata keseluruhan jumlah pusat pengundian bagi PRK DUN Jepak adalah 15, dengan 46 tempat mengundi atau saluran, yang melibatkan 14 pusat mengundi biasa dan 45 pusat mengundi atau saluran, dan satu pusat mengundi awal dengan satu saluran.

Semakan maklumat pengundian untuk mengetahui pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124, yang akan dibuka mulai 16 Oktober ini. 

Azmi berkata urusan permohonan semua kategori undi pos dalam dan luar negara akan dibuka bermula hari ini, manakala tarikh tutup permohonan pula adalah pada 18 Oktober bagi Kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media); 4 Oktober bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 9 Oktober bagi Kategori 1C (agensi/organisasi). 

“Permohonan undi pos bagi semua Kategori 1A, Kategori 1B dan Kategori 1C dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Azmi seterusnya menyeru bakal calon yang ingin bertanding di PRK DUN Jepak untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus terlibat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, sebelum hari penamaan calon untuk memudahkan proses penamaan calon.

Beliau berkata SPR turut menawarkan mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK DUN Jepak bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi, serta perlu mematuhi semua syarat pelantikan yang telah ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut dan permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai hari ini, dan tarikh tutup permohonan pada 9 Oktober.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.