Mahkamah Rayuan Putrajaya memerintahkan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin menjalani hukuman penjara sembilan bulan bermula hari ini selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan yang menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, kira-kira 11 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang diketuai Hadhariah Syed Ismail sebulat suara mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Wan Ji.
Hakim Hadhariah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 yang menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Wan Ji, 41.
Semasa menyampaikan keputusan, Hakim Hadhariah berkata rayuan Wan Ji tidak mempunyai merit kerana terdapat banyak keterangan yang menunjukkan perayu (Wan Ji) adalah pemilik laman Facebook itu.
“Berkenaan isu hukuman pula, hakim mahkamah tinggi tiada sebab untuk menambah hukuman. Hukuman itu (penjara sembilan bulan) sepatutnya dikekalkan.
“Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara setahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Wan Ji dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Datuk Azmi Ariffin.
Hakim Hadhariah berkata tiada sebarang kesalahan dalam Akta Hasutan 1948 seperti yang didakwa oleh Wan Ji dalam rayuannya.
“Kebebasan bersuara tidak bermaksud kita boleh bercakap sesuka hati, perkataan yang dikatakan dalam Facebook milik perayu memang tidak sesuai. Kalaulah kita ini genius sekalipun dalam bab-bab agama, jangan kita memperlekah orang lain.
“Kalau (hendak) beri nasihat agama cakaplah dengan perkataan yang baik-baik. Jangan guna perkataan yang tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R (agama, raja, perkauman). Hati-hati dengan perkataan sensitif ini,” katanya.
Hakim Hadhariah berkata kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak untuk seseorang bercakap dengan sesuka hati dan masih ada batas yang perlu dijaga.
“Jangan menyinggung perasaan orang, amalkan sikap tunduk. Lagi pandai, lagi genius, lagi tunduk. Jangan memperkecilkan orang,” nasihat hakim itu.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Wan Ji.
Wan Ji merayu terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.
Pada 9 April 2018, Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di Shah Alam pada 10 pagi, 5 November 2012.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.