- Iklan -
Berita

Dari mana 'puluhan ribu' pekerjaan Tesla? sekutu Najib soal Anwar selepas lawatan ke AS

Ini berlaku selepas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin bertemu dengan Ketua Eksekutif Tesla Elon Musk baru-baru ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Srettha Thavisin dari Thailand membunyikan loceng di Bursa Saham New York manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan khutbah di sebuah masjid dalam gabungan gambar sewaktu lawatan mereka ke Amerika Syarikat sempena Perhimpunan Agung PBB. Gambar: Facebook
Srettha Thavisin dari Thailand membunyikan loceng di Bursa Saham New York manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan khutbah di sebuah masjid dalam gabungan gambar sewaktu lawatan mereka ke Amerika Syarikat sempena Perhimpunan Agung PBB. Gambar: Facebook

Seorang pengulas politik yang berkait rapat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak mempersoalkan dakwaan Anwar Ibrahim bahawa Tesla akan membawa masuk puluhan ribu pekerjaan ke Malaysia, selepas laporan pemilik pengeluar kenderaan elektrik terkemuka itu komited untuk membuka kilang kereta dan bateri di Indonesia dan Thailand. 

Lim Sian See, nama samaran kepada seorang penyokong setia Najib dan dianggap berada di belakang kebanyakan tulisan dalam talian bekas perdana menteri itu, membangkitkan perkara ini selepas perdana menteri Thailand yang baru dilantik Srettha Thavisin bertemu Musk sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini di New York.

Lim merujuk kepada pengumuman Thavisin bahawa Tesla sedang mengkaji untuk menubuhkan kilang pengeluaran EV di Thailand, yang sudah menjadi hab industri automotif serantau.

Pengumuman yang sama dibuat oleh Presiden Joko Widodo, yang juga bertemu Musk tahun lalu, di mana beliau menyatakan keyakinan Tesla akan menerima tawaran pelepasan cukai dan konsesi perlombongan nikel dengan menubuhkan fasiliti pengeluaran di Indonesia.

"Hanya Malaysia sahaja tak umum bahawa Elon Musk timbang untuk bina apa-apa kilang di sini.

"Jadi, dari mana akan datangnya 'puluhan ribu peluang pekerjaan' dari Tesla untuk Malaysia?" soal Lim dalam satu kiriman di Facebook.

Musk baru-baru ini mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemimpin dunia yang berkumpul di New York sempena sidang kemuncak PBB, termasuk Recep Tayyip Erdoğan, di mana pemimpin Turkiye itu sempat membincangkan pembukaan kilang Tesla di negaranya.

Anwar yang pernah membuat panggilan video dengan Musk selama 25 minit sebelum ini bagaimanapun, tidak bertemu langsung dengan jutawan AS itu semasa lawatan peringkat tinggi ke AS baru-baru ini. 

Walaupun Anwar dan pemimpin kerajaan berulang kali, sepanjang kempen dan ucapan semasa pilihan raya negeri bulan lepas, merujuk pertemuan dalam talian itu sebagai isyarat kepada minat Musk di Malaysia.

Pertemuan itu disusuli dengan Anwar mengumumkan pembelian beberapa kit perkhidmatan satelit Starlink, serta langkah kontroversi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memberikan lesen 10 tahun untuk beroperasi di Malaysia.

Kerajaan juga mengecualikan syarat keperluan peratusan ambang 49% ekuiti asing yang dikenakan kepada mana-mana syarikat yang mahu memohon untuk menjadi pembekal rangkaian.

Anwar ketika itu menganggarkan "puluhan ribu peluang pekerjaan" akan diwujudkan melalui kerjasama dengan Tesla. 

Setakat ini tiada tanda-tanda pelaburan dari Musk selain pembukaan bilik pameran jualan di Cyberjaya.