- Iklan -
Berita

PH, Anwar patut bersuara pertahankan Wan Ji, kata kumpulan peguam

Lawyers for Liberty mengimbas kembali pendirian PH menentang Akta Hasutan dan kenyataan Anwar Ibrahim sendiri mengenai kes itu pada 2019.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.
Penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya untuk bersuara mempertahankan pemimpin PKR Wan Ji Wan Hussin, yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mahkamah menolak rayuannya terhadap sabitan di bawah Akta Hasutan walaupun sebelum ini dicabar Pakatan Harapan (PH) sewaktu menjadi pembangkang. 

Dalam satu kenyataan, LFL berkata adalah "mengejutkan dan tidak boleh diterima" bahawa Wan Ji dijatuhkan hukuman di bawah Akta Hasutan. 

“Lebih memedihkan adalah bahawa pemenjaraannya adalah ketika di bawah kerajaan pimpinan PH, yang sebelum ini memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan," katanya. 

"Adalah menjadi kewajipan moral dan tanggungjawab PH, yang menjanjikan pemansuhan, untuk memastikan Wan Ji tidak terus menjalani hukuman penjara di bawah akta zalim ini."

Wan Ji dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas Mahkamah Sesyen pada 2018 mendapati dia bersalah menerbitkan catatan di Facebook yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dia diperintahkan untuk mula menjalani hukuman penjara semalam, selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan keputusan 2018 yang memerintahkan dia dihukum penjara sembilan bulan dan menolak rayuannya terhadap sabitan serta hukumannya.  

Pengarah LFL Zaid Malek berkata tiada asas atau alasan munasabah untuk mempertahankan Akta Hasutan yang katanya sepatutnya dimansuhkan sejak dahulu lagi. 

Beliau berkata kerajaan Selangor, diterajui PH dan mempunyai menteri besar daripada PKR, mesti "melakukan perkara yang betul dan menasihati raja supaya memberi pengampunan kepada Wan Ji di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan".

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga tidak boleh berdiam diri dan tidak ambil peduli,” tambahnya.

"Semasa menjadi pembangkang, Anwar telah bercakap secara khusus dalam kes Wan Ji."  

Beliau merujuk kepada kenyataan Anwar pada 2019 bahawa hukuman penjara setahun yang dijatuhkan kepada Wan Ji oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah "terlalu keras" dan "tidak selari dengan reformasi demokrasi".

"Kini Anwar sebagai perdana menteri berada dalam kedudukan terbaik untuk membetulkan ketidakadilan yang dilakukan terhadap Wan Ji. 

“Peguam negara dalam kapasitinya sebagai penasihat undang-undang kerajaan Persekutuan dan perdana menteri juga duduk sebagai ahli Lembaga Pengampunan Selangor di bawah Perkara 42(5) dan mesti menasihati pemberian pengampunan dalam kes Wan Ji," kata Zaid.