- Iklan -
Berita

Tiada pusat mengundi awal dibuka pada PRK Pelangai

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata ini kerana undi pos diagihkan kepada semua pegawai polis yang berhak mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang pegawai mencelupkan jarinya ke dalam botol dakwat kekal sebelum mengundi di pusat pengundian awal.
Gambar fail seorang pegawai mencelupkan jarinya ke dalam botol dakwat kekal sebelum mengundi di pusat pengundian awal.

Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 3 Oktober ini berikutan kesemua anggota polis bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dikeluarkan kertas undi secara pos, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos bagi PRK itu yang dilaksanakan petugas Pilihan Raya Pelangai Pahang, semalam.

Menurutnya, sebanyak 69 kertas undi dikeluarkan mengikut kategori 1A merangkumi petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis dan petugas media, selain satu kategori 1C iaitu agensi dan organisasi serta tiga pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi, 7 Oktober depan.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi