Kawasan Kuala Lumpur, Petaling dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 10 Oktober ini (Selasa) bermula 9 pagi, berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abas Abdullah berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari, 12 Oktober (Khamis).
“Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada jam 7 malam, 10 Oktober (Selasa). Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan siap serta apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu, Air Selangor akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Beliau turut menasihatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh tersebut.
Katanya bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah terjejas.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara,” katanya.
Maklumat semasa berhubung gangguan bekalan air berjadual itu boleh didapati di saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.