Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata pengenaan caj transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit tidak membebankan golongan berpendapatan rendah di negara ini.
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata beliau telah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Shaik Abdul Rasheed Ghaffour semalam untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
“Saya berbincang dengan Gabenor BNM semalam. Mengikut dia, penjelasan yang diberikan (ialah caj transaksi) tidak akan dikenakan kepada golongan bawahan.
“Yang penting, tidak bebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran ‘Postnormal Times’ di KL Jazz and Arts Centre di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan pengenaan caj transaksi kepada vendor untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November depan.
Namun, caj 50 sen akan dikenakan untuk urus niaga melebihi RM5,000 melibatkan pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.
Mengulas desakan Presiden MCA Wee Ka Siong untuk menghapuskan caj transaksi berkenaan, Anwar berkata ia perlu ditangani BNM.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menjelaskan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi hanyalah pertemuan mesyuarat pasca-Kabinet mingguan biasa.