- Iklan -
Berita

Pengendali DuitNow QR miliki jaringan luas dalam perkhidmatan perbankan negara

Syarikat itu terdiri daripada kira-kira 12 pemegang saham yang didominasi oleh Bank Negara Malaysia dan bank perdagangan utama.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Antara kemudahan yang diuruskan oleh PayNet termasuk menyediakan lebih 10,000 mesin juruwang automatik di seluruh negara.
Antara kemudahan yang diuruskan oleh PayNet termasuk menyediakan lebih 10,000 mesin juruwang automatik di seluruh negara.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), syarikat di tengah-tengah isu berhubung rancangan mengenakan caj transaksi terhadap peruncit yang menggunakan kemudahan pembayaran imbasan kod QR turut tersenarai sebagai penyedia perkhidmatan perbankan utama, dengan Bank Negara serta beberapa perdagangan menjadi pemegang sahamnya.

Syarikat itu, yang menjadi tumpuan selepas MalaysiaNow melaporkan rancangannya untuk mula mengenakan caj ke atas perniagaan yang menerima pembayaran menggunakan kemudahan DuitNow QR, ditubuhkan pada 2017 melalui penggabungan antara dua pemain utama dalam industri perbankan, menjadi penyedia infrastruktur bank utama Malaysia.

PayNet adalah hasil penggabungan antara Malaysian Electronic Clearing Corp Sdn Bhd (MyClear), sebuah syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia (BNM), dan Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS), syarikat penyedia mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara. 

Syarikat itu kini dimiliki bersama BNM yang mempunyai 35% kepentingan, dan sekurang-kurangnya 11 bank perdagangan termasuk CIMB Bank, Maybank, Public Bank, RHB, Hong Leong Bank dan AmBank.

Semasa penubuhannya, gabenor BNM ketika itu Muhammad Ibrahim berkata salah satu matlamat PayNet adalah untuk mempromosikan penggunaan kad debit sebagai alternatif kos rendah untuk peniaga dalam menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam sektor runcit. 

Salah satu langkah yang diumumkannya ialah penepian caj 50 sen untuk transaksi dalam talian segera antara bank, yang dinamakan semula sebagai DuitNow.

Kini, PayNet mengawal perkhidmatan harian yang digunakan rakyat Malaysia untuk keperluan perbankan mereka: penjelasan cek, pemindahan dana dalam talian antara bank, pembayaran bil dalam talian seperti JomPAY serta pembayaran tempat jualan untuk pembeli melalui penggunaan kad debit dan ATM.

Syarikat itu juga mengendalikan kemudahan debit terus untuk kutipan pembayaran automatik daripada bank, pemprosesan mata wang kertas terpakai, pensijilan keselamatan untuk kad cip dan sistem pembayaran, serta rangkaian ATM merangkumi lebih 10,000 mesin di seluruh negara.

Pada April 2020, Covid-19 melanda dunia hingga menyaksikan sekatan pergerakan termasuk di Malaysia, caj transaksi sebanyak RM1 yang dikenakan kepada pengguna perbankan bagi pemindahan dana antara bank berbeza di mesin ATM ditarik balik, satu langkah bertujuan menggelakkan kesesakan di kaunter bank serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

Caj itu dikembalikan semula pada Februari tahun lalu apabila kerajaan mengumumkan negara beralih ke fasa endemik dan kembali kepada keadaan normal sebelum pandemik.

Hari ini, pembayaran melalui kod QR dan e-dompet digunakan secara meluas, berikutan pandemik Covid-19 selama dua tahun yang menyaksikan peruncit beralih kepada kemudahan tanpa tunai semasa tempoh sekatan pergerakan.

Kod QR menjadi pemandangan biasa walaupun di gerai-gerai makanan – tetapi pengumuman caj yang semakin meningkat meresahkan peniaga kecil, yang melihatnya sebagai beban tambahan di samping kenaikan harga bahan mentah dan kos operasi.

Perdebatan juga berlaku mengenai caj itu, dengan ramai rakyat Malaysia menyuarakan kemarahan ke atas struktur caj baru itu yang akan dikenakan bulan depan.

Ramai menunjukkan senarai bank berkaitan dengan perniagaan PayNet, mengkritik langkah mengenakan caj transaksi sebagai cubaan untuk mengaut lebih banyak keuntungan ke atas perniagaan kecil yang bergantung pada kaedah pembayaran popular itu.

Kemarahan dalam talian mendorong sekurang-kurangnya dua bank – Public Bank dan Maybank, untuk memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka akan menangguhkan sebarang caj transaksi buat masa ini, manakala CIMB Bank berkata pengecualian caj transaksi akan kekal sehingga akhir tahun.

PayNet mempertahankan tindaknya hingga mencetuskan kemarahan pengguna, memetik terdapat "kekeliruan" mengenai langkah itu. 

Menurut syarikat tersebut, ia memilih untuk mengecualikan caj ke atas pembayaran menggunakan kod QR untuk menggalakkan penggunaan kemudahan itu.

“Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak Covid-19. Ia bukanlah suatu yuran baru mahupun caj tambahan. Sebaliknya, 1 Oktober 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu," katanya semalam, merujuk kepada diskaun yang diberikan bank kepada perniagaan untuk mengurangkan kesan caj transaksi itu.  

Ia juga mengecam pengkritik pelan caj transaksi itu, mengatakan perbincangan harus “berteraskan pemahaman yang tepat, betul dan termaklum sepenuhnya berasaskan fakta sahih yang mencerminkan keadaan dan cara sebenar bagaimana industri pembayaran digital beroperasi”.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.