Polis menahan seorang sukarelawan polis wanita malam tadi, selepas disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) menerima laporan polis yang dibuat seorang pegawai kanan polis yang melayari laman sosial Facebook dan menemui satu hantaran ditularkan pada pukul 10.22 malam tadi.
"Terdapat satu komen dibuat seorang pemilik akaun yang merujuk kepada seseorang atau individu yang dipercayai bermotif mengaibkan dan keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita yang membuat komen itu berkhidmat di Mersing dan semakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dihantar bagi siasatan lanjut ke atas pemilik akaun terbabit.
Polis kemudian menahan wanita berusia 39 tahun itu pada jam 10.58 malam tadi di kawasan Endau, Mersing, katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial agar tidak mengeluarkan ayat-ayat yang menghina sesiapa sehingga mendatangkan kegusaran masyarakat.
Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut tentang sesuatu nama.
Berdasarkan hantaran tular itu yang menanyakan tentang “Bila sebut Madani, apa yang terlintas di fikiran anda?”
Suspek kemudian dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada seseorang.
Bagaimanapun, komen itu dipercayai sudah dipadam.