- Iklan -
Berita

Masih terdapat kedai letak syarat beli gula premium

Pelanggan mengatakan mereka masih dipaksa untuk membeli gula premium walaupun yang mereka inginkan hanyalah gula kasar biasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sukar memperoleh gula bersubsidi, hanya terdapat gula putih premium 1kg yang dijual pada harga RM4.80 di bahagian rak di sebuah pasar raya di Taman Kuchai.
Sukar memperoleh gula bersubsidi, hanya terdapat gula putih premium 1kg yang dijual pada harga RM4.80 di bahagian rak di sebuah pasar raya di Taman Kuchai.

Meskipun sebelum ini terdapat amaran kepada peniaga untuk tidak mengenakan syarat membeli gula premium bagi mendapatkan gula kasar, perbuatan itu dilaporkan masih berleluasa. 

Beberapa kedai dikesan masih mengenakan syarat perlu membeli gula premium kepada pengguna yang ingin mendapatkan kampit gula kasar, menurut beberapa pengguna.

Seorang pengguna, Nur Elisa berkata, hampir semua kedai runcit dan pasar raya mini di kawasan sekitar rumahnya di Bachok, Kelantan mengenakan syarat itu.

"Mereka wajibkan beli gula premium untuk beli gula biasa,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Ada satu kedai runcit letak syarat beli gula premium untuk beli minyak masak paket.”

Minyak masak paket dijual pada harga subsidi, iaitu RM2.50 sekilogram.Harga gula kasar dijual pada harga RM3 manakala harga gula premium dijual pada RM4.80.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.

"Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada, sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian.

"Kita ada terima (aduan) dan kita dapat selesaikan aduan itu serta merta,” katanya pada Ogos.

Menurut Nur Elisa, pengguna dimaklumkan mengenai syarat itu secara bertulis dan kedai memaklumkan ketika hendak membayar.

"Kalau beli sekilo gula biasa, kena beli sekilo gula premium," tambahnya.

Seorang pengguna di Dengkil, Selangor Ahmad Ihram Mohd Noor berkata, sekurang-kurangnya satu kedai runcit dikesan mengenakan syarat itu.

"Saya hendak beli secara borong sebanyak 24 kampit namun kedai tersebut meminta saya membeli gula premium.

“Jika saya beli dalam kuantiti sikit barulah kedai tersebut benarkan tanpa perlu membeli gula premium. 

"Saya turut mendengar syarat yang sama dikenakan di Machang, Kelantan, di kampung ibu bapa saya," katanya.

Katanya, kedai-kedai di sekitar Dengkil mula mencatu pembelian dan mengehadkan pembelian kepada dua hingga lima kampit untuk seorang pembeli. 

Selain gula, beras tempatan antara yang dilaporkan sukar didapati di pasar raya seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menggesa orang ramai membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik.

Sementara itu, seorang penjual aiskrim, Syefry Moniz berkata stok gula kini sukar didapati di pasar raya.

Dia perlu membeli gula dengan kuantiti yang banyak untuk produk yang ditawarkannya.

"Dahulu, kedai borong atau wholesale mencatu jualan gula, jadi saya pergi ke pasar raya.

“Sekarang ini pasar raya tiada gula kasar biasa, tetapi kedai borong tidak membenarkan saya membeli kampit besar," katanya.

Menurut Syefry, kebanyakan pasar raya menjual gula premium dan gula perang yang lebih mahal daripada gula biasa.

Dia tidak mahu membeli gula berkenaan kerana kos pembuatan aiskrim akan meningkat.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Taggula
Kongsi