- Iklan -
Berita

Golongan berpendapatan rendah tetap terbeban dengan caj DuitNow QR

Pakar mencadangkan agar kos tersebut diserap sebagai tanggungjawab sosial korporat dan insentif bagi pihak kerajaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penjaja nasi ayam, Zawawi Zakaria yang menjalankan perniagaan di Lembah Jaya, Ampang menggunakan DuitNow QR bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran tanpa sentuh di gerainya.
Seorang penjaja nasi ayam, Zawawi Zakaria yang menjalankan perniagaan di Lembah Jaya, Ampang menggunakan DuitNow QR bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran tanpa sentuh di gerainya.

Pengguna termasuk golongan berpendapatan rendah tetap akan terbeban dengan pelaksanaan caj transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit, kata pakar ekonomi dan persatuan pengguna.

Mereka berkata sepatutnya kajian dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan tiada golongan yang akan terbeban daripada pengenaan caj tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Jacob George berkata, pihak bank atau industri sepatutnya mewujudkan mekanisme dengan mencari jalan menyerap kos tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Yang penting pada masa ini untuk kita wujudkan mekanisme di mana pasaran yang menggunakan platform atau aplikasi ini tak akan mengenakan caj kepada pengguna,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dalam keadaan sekarang kos sara hidup yang begitu tinggi, ini boleh oleh jadi CSR kepada syarikat besar untuk serap kos itu.  

“Mereka tak perlu jadi seperti Ah Long mengenakan caj yang membebankan pengguna.”

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata minggu lalu sebarang caj bagi transaksi pembayaran menggunakan kod QR tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan Gabenor Bank Negara (BNM) Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

BNM adalah antara pemegang utama saham dalam  syarikat pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

MalaysiaNow baru-baru ini melaporkan rancangan untuk mula mengenakan caj ke atas perniagaan yang menerima pembayaran menggunakan kemudahan DuitNow QR yang ditubuhkan pada 2017.

Bagaimanapun BNM berkata pada Jumaat akan mengecualikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Hanya caj RM0.50 untuk urus niaga melebihi RM5,000, menerusi bayaran dikenakan untuk pemindahan dana “peer-to-peer” daripada QR peribadi ke QR peribadi lain masih dikekalkan.

George berkata kerajaan juga boleh membantu pihak industri dengan memberi insentif kerana menolong pengguna.

“Kerajaan kena beri insentif kepada pihak industri. Daripada kerajaan beri subsidi sana-sini dan kemudian subsidi dicuri. Jadi nampaklah kerajaan ini menolong pihak industri yang menolong pengguna.

“Bagi saya kerajaan kena tolong mereka juga. Sebab selalu bila saya bincang dengan industri berkenaan isu pengguna ini mereka kata kita boleh buat tapi apa yang kita dapat dari kerajaan pusat.

“Jadi kena ada insentif yang dapat diberi kepada mereka. Supaya pihak industri memberi tawaran tersebut. Ia seperti situasi menang-menang,” katanya.

Pengguna paling terkesan

Sementara pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Abu Sofian Yaacob berkata, pengguna paling terkesan kerana mereka tetap dikenakan caj menerusi transaksi peribadi.

“Biarpun ada bank menggantung pengenaan caj atas MDR tetapi tidak kepada pengenaan caj ‘peer-to-peer’.

“Maka jika kita ikut perkembangan terkini memanglah peniaga tidak akan terkesan daripada MDR sebab ia ditangguhkan.

“Tapi pengguna yang terkesan kerana mereka dikenakan caj transaksi peer-to-peer ini,” katanya.

Sementara pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Barjoyai Bardai pula berkata isu pelaksanaan caj kepada pengguna adalah sama seperti situasi ketika pengenaan caj pengeluaran duit di mesin juruwang automatik (ATM).

“Isu sekarang sama masa pengguna dikenakan caj pengeluaran mesin ATM, 0.50 sen dan RM1 jika bank sendiri.

“Caj yang dikenakan ini juga sama, cuma penggunaan sistem ini sangat meluas, kena tengok beberapa kekerapan yang digunakan. Kebimbangan kita apa sahaja transaksi nanti akan dikenakan caj,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pihak mana yang memulakan keputusan pengenaan caj tersebut kerana perlu ada penjelasan yang dibuat berhubung ke mana duit itu akan digunakan.

“Kita perlu kaji dan tengok kesan ke atas tiap golongan yang akan terlibat. Dari situ baru kita akan tentukan beban pelaksanaan itu, siapa yang tanggung dan berapa kadar bebanan yang ditanggung.

“Ia sepatutnya dibuat terlebih dahulu. Tapi memandangkan banyak bank bersetuju tangguh caj ini jadi pada saya kita ada masa untuk buat kajian,” katanya.