- Iklan -
Berita

Mengapa reformasi institusi sukar dilaksanakan?

Walaupun Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah lama dikaitkan dengan slogan 'reformasi', namun sejak kebelakangan ini kerajaan sering mendapat kecaman selepas gagal menunaikan janji mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasan memegang plakad ‘Dakwa Zahid’ semasa perhimpunan Selamatkan Malaysia di Kampung Baru, 16 September.
Penunjuk perasan memegang plakad ‘Dakwa Zahid’ semasa perhimpunan Selamatkan Malaysia di Kampung Baru, 16 September.

Hari-hari pada penghujung tahun 1998 dipenuhi dengan harapan rakyat untuk melihat institusi negara melalui reformasi selepas timbalan perdana menteri yang dipecat, Anwar Ibrahim mendakwa berlaku korupsi dan salah guna kuasa di peringkat tertinggi.

Selama lebih dua dekad, laungan “reformasi” mewarnai perjuangan Anwar yang akhirnya menjadi perdana menteri.

Ribuan rakyat sanggup hadir ke jalan raya untuk menzahirkan sokongan kepada gerakan reformasi.

Bagaimanapun, setelah hampir setahun mentadbir, Putrajaya di bawah Anwar dilihat mengecewakan ramai apabila terpaksa memungkiri beberapa janji.

Beberapa pihak sebelum ini mempertikaikan di manakah reformasi yang dijanjikan oleh Anwar.

Pengarah Eksekutif North South Initiative Adrian Pereira berkata usaha reformasi direncatkan oleh ketidakstabilan politik selain birokrat yang bertindak sebagai “Napoleon kecil” dalam setiap kementerian.

"Kerjasama yang tidak 'suci' antara parti-parti politik mengakibatkan terlalu banyak yang dikompromi sehingga mereka tidak boleh meletakkan perbezaan masing-masing untuk mengangkatkan agenda reformasi,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Buat masa sekarang ia (reformasi) sangat dangkal, dan hanya tertumpu pada permukaan.

“Tiada siapa ada kepakaran yang betul untuk menterjemahkan ia kepada polisi.”

Kerajaan campuran yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas menyaksikan Pakatan Harapan (PH) bergabung dengan bekas musuh utama mereka, Barisan Nasional (BN) dan parti lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antara perkara yang dijanjikan sebelum PRU15 oleh PH termasuklah memansuhkan Akta Sosma dan Akta Hasutan, namun masih belum menjadi realiti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), Ram Karpal Singh berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan Sosma.

Sebaliknya katanya, usaha ditumpukan untuk menambah baik akta tersebut. 

PH juga antara lain menjamin kebebasan media tetapi tindak-tanduk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah kementerian yang dikepalai Fahmi Fadzil menerima kritikan daripada kumpulan wartawan kanan dan badan pemantau media selepas tindakan memanggil beberapa badan media selain ugutan terbaru kepada MalaysiaNow.

Anwar juga antara lain menegur monopoli Padi Beras Nasional (Bernas) yang dimiliki taikun Melayu Syed Mokhtar Albukhary. 

Namun, masih tiada tindakan berhubung penghapusan monopoli import beras yang dipegang syarikat itu sejak sekian lama.

Namun yang menjadi kontroversi terbesar ialah keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi.

DNAA itu dipohon oleh pasukan pendakwaan meskipun mahkamah sebelum ini mendapati terdapat prima facie dalam kes-kes presiden Umno itu. 

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia Sivarajan Amurugam berkata, partinya pernah menghantar cadangan reformasi semasa PH menang pada 2018, yang mana gabungan itu menubuhkan jawatankuasa dianggotai tokoh-tokoh seperti Jomo Kwame Sundaram, Ambiga, Syed Saleem Faruqi dan lain-lain.

"Namun tiada reformasi setelah itu. Jadi tanpa mengira kerajaan PH sepenuhnya atau kerajaan campuran, tiada azam politik yang kuat.

"Bagi kedua-kedua kerajaan ini, jika sesuatu itu tidak akan menurunkan sokongan popular, mereka tidak mahu membuat reformasi," katanya.  

Antara kegagalan PH, menurut Sivarajan termasuk menyediakan rumah mampu milik, penstrukturan semula syarikat berkaitan kerajaan, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selain mahu memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi tidak mahu memperkenalkan cukai kekayaan.

"Ini sebabnya mengapa reformasi institusi sukar dilakukan, apabila anda  ada kerajaan reformis dan progresif hanya pada nama."

Dalam pada itu Adrian berkata negara perlu membangunkan intelektual pada tahap akar umbi untuk menyelesaikan beberapa perkara, terutamanya reformasi buruh yang tidak kelihatan. 

"Kita tidak boleh bergantung kepada ahli politik kerana mereka telah menunjukkan bahawa mereka tidak berupaya menguruskan negara," katanya.

Katanya, pemerdagangan manusia masih lagi berleluasa di Malaysia dan ia kelihatan masih tidak terkawal.

Dalam pada itu, Adrian berkata kerajaan Madani pimpinan Anwar perlu diberikan satu garis masa bagi melihat sama ada reformasi yang dijanjikan mampu dipenuhi.

"Jika tidak, perlu ada undi tidak percaya dalam Parlimen," katanya.