- Iklan -
Berita

Tumpu perkara lebih penting, netizen tegur Nga selepas ciapan EV di London

Beberapa pengguna media sosial bertanyakan kepada beliau berapa ramai di Malaysia yang mampu membeli kenderaan elektrik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dalam gambar yang dimuat naik beliau di Twitter, telah dikritik oleh pengguna media sosial kerana menunjukkan pemahaman yang lemah tentang realiti rakyat Malaysia.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, dalam gambar yang dimuat naik beliau di Twitter, telah dikritik oleh pengguna media sosial kerana menunjukkan pemahaman yang lemah tentang realiti rakyat Malaysia.

Pengguna media sosial hari ini mengkritik ciapan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk menjadikan United Kingdom (UK) sebagai contoh dalam penyediaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), menggesa beliau supaya menumpukan perhatian kepada perkara lain yang lebih mendesak di Malaysia.

Nga yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke UK, berkata beliau bangun pada jam 6 pagi dan berlari sejauh 7.5km mengelilingi bandar London.

“Selaras dengan misi negara untuk memasang 10,000 pencawang caj kereta elektrik EV menjelang 2025, saya mendapati model UK yang baik boleh dicontohi. Akan kemukakan cadangan nanti,” tambahnya, sambil menandai akaun kementeriannya di Twitter.

Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Guna memuji Nga semasa berlari tetapi sebaliknya mencadangkan "laluan yang baik untuk rakyat biasa". 

"PMX boleh berjalan di laluan pejalan kaki yang betul di New York dan anda boleh berlari di London. 

"Ia hanya adil jika rakyat Malaysia yang tidak mampu pergi ke New York atau London mempunyai kemewahan yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz yang dicalonkan PKR untuk kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum lalu, berkata jika Nga boleh pergi "sejauh London untuk memeriksa pengecas EV", beliau harus "melakukan perkara yang terhormat juga dan memeriksa tempat letak kereta OKU di hospital Malaysia". 

"Tidak perlu membayar untuk penerbangan. Kosnya sangat efektif. Tetapi penting untuk rakyat Malaysia," tambahnya. 

Sementara SM Lim mengulangi kenyataannya, menggesa Nga untuk "melakukan apa yang perlu dulu di Malaysia". 

"Untuk menamakan beberapa... pembuangan sampah, longkang tersumbat, tandas, keadaan jalan raya, pengangkutan awam, tempat letak kereta, perkhidmatan awam, pengurusan majlis. 

“Kena perbaiki ekonomi kita akibat rasuah dan kukuhkan ringgit dahulu." 

"Bolehkah berhenti bercakap tentang EV dan fokus pada pengangkutan awam dulu? Sistem bas di Lembah Klang sendiri masih dunia ketiga. Jangan terputus hubungan, YB," tambah pengguna menggunakan nama Aduan Rakyat.

Sementara itu, pengguna Sir Lock Cro berkata kerajaan perlu memberi tumpuan untuk menurunkan kadar tarif Tenaga Nasional Bhd (TNB). 

“Banyak-banyak kadar bil utiliti lain, TNB paling tak masuk akal,” katanya.

“Mana-mana PM, tak seorang pun berani tegur TNB, apahal?”

Pengguna lain mempersoalkan tumpuan pada EV, dengan Malik Mohamed bertanya berapa ramai rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sedemikian. 

“Ramai lagi rakyat tak berumah YB. Tolong permudahkan urusan rakyat dulu.”

Pengguna lain, Kevin berkata pengecas super Tesla adalah "mungkin satu-satunya penyelesaian berskala", manakala Shan berkata tidak ramai yang mampu membeli EV.

Pengguna yang hanya dikenali dengan nama R mempersoalkan pemahaman Nga tentang cara hidup B40 atau M40, manakala Pee Jay mencadangkan menteri mengarahkan pihak berkuasa tempatan memantau kebersihan pusat komersial di Taman Puncak Jalil.

“Sangat kotor dan banyak simpan kereta usang yang tersadai.

Sementara itu, Dr Armada menuduh Nga "terlalu mempublisitikan dirinya". 

"Gimik murahan atau lebih mahal ini kelihatan kebudak-budakan dan mencari perhatian."