Cadangan kerajaan memperkenalkan pengenalan diri khas (ID) untuk pembelian minyak masak bersubsidi di pasaran tidak diterima baik seorang pakar ekonomi ketika kerajaan sedang bergelut mencari mekanisme sesuai menggantikan subsidi pukal sedia ada.
Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata cadangan yang dikemukakan menteri itu memerlukan penjelasan lanjut.
"Kita sudah ada platform sedia ada iaitu MyKad, e-wallet dan MySejahtera.
"Dikhuatiri projek ID khas ini akan membabitkan syarikat tertentu dan menelan belanja besar," katanya kepada MalaysiaNow.
Beberapa hari lepas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata penjualan minyak masak paket hanya boleh dijual kepada mereka yang disahkan layak menerusi ID khas.
Ini bagi memastikan subsidi itu disasarkan kepada golongan yang memerlukan.
"Pada ketika ini kerajaan keluarkan 60 juta peket minyak masak bersubsidi setiap bulan, akan tetapi aduan diterima ialah ia tidak boleh didapati di pasaran dan selalu habis.
"Ramai yang bertanya mengapa tidak gunakan IC atau MySejahtera.
“Ini kerana keperluan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro," katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu, isu minyak masak subsidi berdepan penyeludupan yang mana laporan-laporan sebelum ini menyatakan bahan itu turut terjual di Thailand.
Razman berkata, persoalan timbul sama ada ID khas tersebut mampu menyelesaikan situasi penyeludupan atau penyorokan minyak masak.
"Jika tidak dapat mencegah aktiviti menyorok dan menyeludup, penggunaan ID khas tidak akan membantu sangat.
"Sebab walaupun pengguna ada ID khas, tapi bila pergi kedai hendak beli, semuanya dah habis, tak guna juga," katanya.
Minyak masak paket bersubsidi dijual pada harga RM2.50 sekilogram.
Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, Salahudin Ayub pada Jun memberitahu Parlimen kerajaan bercadang melaksanakan dasar subsidi minyak masak mulai Disember tahun ini dan satu pangkalan data dikendalikan oleh satu agensi untuk membolehkan subsidi kepada golongan yang memerlukan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula berkata kerajaan menanggung subsidi pukal bernilai RM80 bilion untuk bahan api seperti petrol, diesel dan gas petroleum cecair serta elektrik.
Subsidi bersasar menjadi agenda utama kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tidak mahu “golongan maha kaya” terus menikmati subsidi.
Bagaimanapun, sehingga hari ini mekanisme subsidi bersasar terus menjadi persoalan.
Anwar pada November tahun lalu mengarahkan kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung isu-isu terkait dengan subsidi rakyat.
Katanya, jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangunkan platform bersesuaian untuk tujuan itu.
Sebelum ini, orang ramai melaporkan bil elektrik melambung tinggi walaupun tiada perbezaan ketara dalam penggunaan elektrik.
Dalam pada itu, Razman berkata ID khas itu juga berkemungkinan disalah guna, seperti mana kad pengenalan palsu juga boleh dijual kepada warga asing.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.