- Iklan -
Berita

Arab Saudi bantu pintas peluru berpandu menghala ke Israel, kata laporan

Ia di sebalik usaha beberapa negara Islam yang mengharapkan ketegasan Arab Saudi dalam membela nasib rakyat Palestin.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Arab Saudi antara negara yang bersetuju berunding ke arah menormalisasi hubungan dengan Israel di bawah perjanjian tajaan Amerika Syarikat.
Arab Saudi antara negara yang bersetuju berunding ke arah menormalisasi hubungan dengan Israel di bawah perjanjian tajaan Amerika Syarikat.

Arab Saudi telah memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Israel minggu lalu oleh kumpulan Houthi di Yaman, menurut laporan Times of Israel.

Akhbar itu memetik The Wall Street Journal melaporkan peluru berpandu itu antara lima yang lain yang disasarkan terhadap Israel.

Empat daripadanya ditembak jatuh oleh kapal perang Amerika Syarikat USS Carney.

Pendedahan itu selang beberapa hari Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dikunjungi beberapa ketua kerajaan negara Islam termasuk Indonesia dan Malaysia, di mana mereka berbincang usaha memberi tekanan ke atas Israel serta membela penduduk di Gaza yang menjadi mangsa pengeboman besar-besaran tentera Zionis.

Kumpulan pemberontak Houthi dikatakan disokong oleh Iran, negara yang dianggap musuh utama Israel selain Hizbullah di Lubnan yang turut merupakan sekutu republik Islam itu.

Times of Israel memetik jurucakap Pentagon Pat Ryder yang berkata Washington tidak mempunyai maklumat jelas bahawa Iran mengarahkan serangan peluru yang terbaru itu, walaupun AS sudah beberapa kali menuding jari ke arah Tehran.

"Apabila anda melihat peningkatan dalam aktiviti dan serangan oleh kebanyakan kumpulan ini... terdapat cap jari Iran di atasnya," kata jurucakap itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau mengadakan perbincangan "hati ke hati" bersama Putera Salman.

"Tajuk utama adalah Gaza. Saya beritahu kepada Putera Mohammed bin Salman, Arab Saudi harus juga ke depan pertahankan, dan kami bersama memberi sokongan yang padu supaya ada suara tegas pertahankan hak rakyat Palestin dan kemanusiaan bagi rakyat Gaza," kata Anwar ketika berucap dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin anjuran kerajaan malam tadi

Arab Saudi antara negara yang dilengkapkan dengan sistem pertahanan anti-peluru Patriot milik AS.

Sebelum ini, AS mengerahkan sistem pertahanan udara di beberapa negara Arab yang menjadi sekutunya, menjelang pencerobohan darat yang dirancang Israel ke atas Gaza.

Ia termasuk menghantar pelancar peluru berpandu di Iraq, Syria dan negara-negara Teluk, di samping Terminal High Altitude Area Defense, atau Thaad, ke Arab Saudi, serta sistem peluru berpandu Patriot untuk Kuwait, Jordan, Iraq, Arab Saudi, Qatar dan UAE.

Arab Saudi juga antara negara yang sedang digalakkan oleh Washington untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv di bawah apa yang digelar sebagai "Perjanjian Abraham".

Setakat ini, empat negara Arab - Bahrain, Maghribi, Sudan dan UAE - sudah memulakan hubungan dua hala secara rasmi dengan Israel.

White House dalam satu kenyataan semalam berkata Presiden Joe Biden dan Putera Salman bersetuju untuk meneruskan rundingan ke arah normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel sejak ia dimulakan sebelum perang di Gaza meletus pertengahan bulan ini. 

Kedua-dua pemimpin turut "menegaskan kepentingan untuk berusaha ke arah keamanan yang mampan antara Israel dan Palestin sebaik sahaja krisis reda, membina atas usaha dijalankan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini".