Tiga pegawai sebuah pertubuhan berkait kerajaan diarahkan berpindah selang beberapa jam selepas terlibat dalam penganjuran sebuah acara yang dirasmikan oleh seorang Adun Perikatan Nasional (PN).
MalaysiaNow difahamkan arahan itu dikeluarkan oleh pihak pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan amanah berkait kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor, terhadap tiga pegawai termasuk seorang pengurus peringkat wilayah.
Mereka termasuk Pengurus AIM Wilayah Selangor dan Kuala Lumpur, Saiful Nizam Mat, Pengurus AIM Gombak Sri Rahayu dan Penolong Pengurus Cawangan Gombak Nor Zuraini Mustafa.
Ketiga-ketiga mereka dikatakan terlibat dalam penganjuran acara "Let's Mega Zumba" pada 2 Nov, di mana Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, dijemput merasmikannya.
MalaysiaNow telah menghubungi Jabatan Sumber Manusia AIM untuk mendapatkan pengesahan di samping alasan di sebalik mengapa mereka dipindahkan tanpa diberikan notis mencukupi bagi membuat persiapan melibatkan urusan harian dan peribadi.
Sumber memberitahu MalaysiaNow, arahan perpindahan itu dikeluarkan pada hari sama oleh ibu pejabat AIM tanpa sebarang alasan.
"Salah seorang mereka dipindahkan serta merta ke Sarawak, manakala seorang lagi ke Johor dan diarahkan lapor diri pada Isnin," kata sumber itu.
Salah sorang yang turut terlibat dalam penganjuran acara itu berkata ramai kalangan kakitangan AIM percaya perpindahan tiga pegawai itu berkait rapat dengan gambar mereka bersama Hilman, di samping rasa kurang senang pihak pengurusan tertinggi dengan kehadiran Adun PN itu.
"YB Hilman dijemput atas kapasitinya sebagai wakil rakyat Gombak Setia, dan tidak ada apa-apa ucapan berbaur politik disampaikan," katanya.
Ketika dihubungi, Hilman berkata beliau terkejut kehadirannya boleh mengundang "tindakan drastik" ke atas staf AIM.
"Saya menyeru pihak pengurusan AIM tampil memberi penjelasan sekiranya benar arahan perpindahan mereka ada kaitan dengan kehadiran saya.
"Keputusan itu sangat membimbangkan. Bukan pertama kali saya hadir dalam majlis-majlis rasmi atas kapasiti sebagai wakil rakyat Gombak Setia," katanya.