Tangkap layar e-mel dari Liberal International (LI) kepada PKR pada 2017 menunjukkan percanggahan dengan dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini bahawa parti itu tidak pernah menjadi ahli kumpulan berpangkalan di UK itu, yang baru-baru ini menyatakan pendirian bersimpati dengan Israel.
E-mel LI itu ditujukan kepada anak Anwar, Nurul Izzah pada 2017, dan mula tersebar hanya beberapa jam selepas Anwar menafikan keahlian PKR di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam e-mel itu, jurucakap LI, William Townsend, menyatakan harapannya Nurul Izzah dapat menghadiri sebuah konvensyen di Andorra pada tahun itu bagi mewakili PKR.
"Kami menjangkakan kehadiran ramai di kalangan ahli Liberal seluruh dunia dan telah mengambil pendekatan baharu kepada penggubalan program kongres, yang menjanjikan sebuah acara meriah, bermaklumat di samping peluang besar untuk mengembangkan rangkaian politik," tulis Townsend.
Beliau kemudian memaklumkan mengenai yuran keahlian PKR yang tertunggak bagi tahun 2016 dan 2017.
MalaysiaNow boleh mengesahkan kesahihan e-mel tersebut.
Salinan e-mel itu muncul beberapa jam selepas Anwar, sewaktu berucap pada Sesi Soal Jawab Perdana Menteri hari ini, menafikan PKR adalah sebahagian daripada LI, walaupun wujud beberapa kenyataan terdahulu badan itu yang jelas merujuk PKR sebagai "ahli penuh".
"Kita tidak pernah menjadi anggota. Kita jadi pada peringkat awal 'associate' (sekutu)', tetapi oleh kerana ada beberapa keputusan mereka, termasuk mengiktiraf LGBT dan pendirian terhadap Israel, kita tidak menjadi ahli," kata Anwar.
Satu sumber dalaman PKR memberitahu MalaysiaNow yang perkara itu merupakan "krisis PR" bagi parti itu, sambil menambah ketua penerangannya Fahmi Fadzil perlu mengambil tanggungjawab.
"Apa yang berlaku adalah sangat tidak wajar, dan cuma memerlukan kejujuran dan kebenaran," kata individu itu yang pernah bertugas di bawah beberapa pemimpin PKR dulu dan sekarang.
"Sejak awal, Fahmi dah silap langkah apabila menafikan PKR adalah anggota (LI), dan kemudian dia cuba nak ancam tindakan undang-undang pula.
"Ini bukan lagi tentang pendirian kami terhadap Israel, itu bukan lagi isunya. Isunya sama ada tembelang dah pecah," tambahnya.
LI menghimpunkan beberapa parti politik di seluruh dunia di bawah sebuah persekutuan yang menjunjung "demokrasi liberal dan progresif".
Kumpulan itu pernah menyokong Anwar ketika beliau menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat, di samping mempersoalkan kebebasan kehakiman negara.
Pada 2015, presiden PKR ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif LI di Zurich, Switzerland, di mana beliau menceritakan nasib suaminya yang dipenjarakan.
Mesyuarat itu kemudiannya sebulat suara menerima resolusi mengenai "perjuangan untuk keadilan" di Malaysia.