- Iklan -
Berita

Saifuddin dikecam selepas hujah 'pelik' pertahan pindaan hak kerakyatan

Bekas ahli parlimen dan peguam terkemuka N Surendran membidas alasan menteri dalam negeri yang cuba melibatkan soal pelarian Rohingya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim (dilihat di sini bersama Saifuddin Nasution), beberapa kali cuba mengelak kritikan terhadap pindaan hak kerakyatan dengan hanya menyebut mengenai pindaan memberikan hak sama rata kepada golongan ibu. Gambar: KDN
Anwar Ibrahim (dilihat di sini bersama Saifuddin Nasution), beberapa kali cuba mengelak kritikan terhadap pindaan hak kerakyatan dengan hanya menyebut mengenai pindaan memberikan hak sama rata kepada golongan ibu. Gambar: KDN

Hujah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution baru-baru ini dalam mempertahankan pindaan perlembagaan mengenai peruntukan kewarganegaraan dibidas kumpulan hak asasi, sambil menyifatkan kenyataan beliau beberapa hari kebelakangan ini "semakin pelik dan tidak masuk akal".

Dalam mempertahankan pindaan itu yang bakal menafikan kewarganegaraan automatik kepada bayi dan anak terbiar, Saifuddin mendakwa ada pelarian Rohingya yang "menghilangkan diri" selepas melahirkan anak di hospital.

"Alasan Saifuddin ini melanggari undang-undang, tidak rasional, tidak berperikemanusiaan dan tidak praktikal. Menteri nampaknya menganggap bayi yang ditinggalkan sebagai ancaman terhadap keselamatan negara atau musuh berbahaya," kata peguam terkemuka dan bekas ahli Parlimen PKR, N Surendran, yang mengetuai Lawyers for Liberty (LFL), antara yang membantah cadangan pindaan yang akan dibentangkan Saifuddin di Dewan Rakyat minggu ini.

"Ke mana lagi anak terbiar yang ditemui di sesuatu tempat di Malaysia hendak pergi? Bayi itu mesti tinggal di sini dan menjadi rakyat negara ini. Setiap negara bertamadun di dunia mempunyai peruntukan yang sama dalam undang-undang mereka," tambahnya.

Pindaan yang dicadangkan itu dibantah kumpulan hak asasi manusia termasuk yang memperjuangkan hak ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini, yang dinafikan kewarganegaraan walaupun dilahirkan kepada ibu bapa Malaysia.

Pindaan perlembagaan yang dicadangkan dan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen itu dicantumkan bersama satu lagi pindaan yang dialu-alukan, iaitu  memberikan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing hak sama rata dalam hal kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Apa yang menjadi fokus bantahan ialah pindaan untuk menghapuskan pemberian kerakyatan secara automatik kepada bayi terbiar atau anak yatim yang dilahirkan di negara ini, yang ibu atau ibu bapanya tidak dapat dikesan. 

Di bawah pindaan itu, nasib mereka yang sebelum ini berhak mendapat kerakyatan terletak di bawah budi bicara menteri dalam negeri.

Pengkritik berkata walaupun dengan wujudnya peruntukan kewarganegaraan automatik, beribu-ribu orang masih hidup menderita sebagai orang tanpa kerakyatan - dinafikan perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan dan peluang pekerjaan - di samping anak yatim dan anak-anak terbiar, yang kebanyakannya dilahirkan di luar nikah, dijadikan mangsa seumur hidup.

Mereka memberi amaran sekiranya peruntukan kewarganegaraan itu dihapuskan, ia akan mengeluarkan jaringan keselamatan terhadap anak yatim dan kanak-kanak lain yang dinafikan kewarganegaraan, seterusnya mewujudkan sebuah kelas baru golongan tanpa kerakyatan.

Jaringan keselamatan itu merupakan asas kepada kes dibawa seorang remaja tanpa kerakyatan pada 2021, di mana Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, mengarahkan kerajaan mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan mendaftarkannya sebagai warga negara.

Tengku Maimun berkata remaja itu berhak mendapat kerakyatan berdasarkan kelahirannya di Malaysia.

Dia juga berkata oleh kerana remaja itu ditemui diabaikan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur, maka dia dianggap dilahirkan oleh seorang ibu yang merupakan pemastautin tetap, yang memenuhi keperluan perlembagaan untuk diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Di sebalik bantahan yang semakin meningkat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan pindaan itu dengan mengelak soalan mengenai bahagian kontroversi. 

Sebaliknya, beliau beberapa kali cuba menekankan pindaan mengenai hak sama rata untuk wanita Malaysia.

N_surendranSurendran (kanan) berkata dengan menghapuskan kerakyatan automatik untuk bayi terabai, beribu-ribu orang dewasa di Malaysia yang layak mendapat kerakyatan akan terus merempat sebagai orang tanpa kerakyatan.

Beliau berkata hujah Saifuddin menggunakan pelarian Rohingya menunjukkan "kejahilan beliau tentang bagaimana peruntukan perlembagaan beroperasi".

"Ringkasnya, jika identiti ibu bapa diketahui sebagai Rohingya, kanak-kanak itu memang tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia di bawah peruntukan semasa. Mahkamah jelas mengenai perkara ini.

“Sebaliknya, jika identiti ibu bapa tidak diketahui, anak yang ditinggalkan itu akan dianggap sebagai rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa ia merupakan penyelesaian berperikemanusiaan dalam kes anak terbiar yang tidak dapat dikesan asal usulnya.

"Melakukan sebaliknya akan hanya melemparkan kanak-kanak itu di pinggiran masyarakat, iaitu sesuatu yang kejam dan tidak memberi manfaat kepada ekonomi atau kepentingan negara."

Tali pusat

Surendran turut menegur Saifuddin atas satu lagi dakwaannya bahawa bayi tanpa tali pusat tidak boleh dianggap sebagai anak terbiar.

"Pemikiran seperti ini juga mencerminkan pemikiran kementerian dalam negeri, yang nampaknya mahu mengecualikan anak-anak terbiar daripada mendapat kerakyatan."

Surendran berkata kerajaan masih sempat membatalkan hasratnya..

"Masih belum terlambat untuk menarik balik pindaan ini, supaya hanya meneruskan pindaan yang berkaitan dengan masalah kanak-kanak dilahirkan oleh ibu Malaysia di luar negara. 

"Melakukan sebaliknya akan menyebabkan penderitaan yang amat perit kepada mereka yang tidak berdosa."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.