Cadangan bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin supaya kerajaan Malaysia mengkaji balik sokongannya kepada dasar "penyelesaian dua negara" dalam konflik Palestin adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan, kata penganalisis.
Penyelesaian dua negara merujuk kepada Perjanjian Oslo pada 1993, di mana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel bersetuju secara prinsip mengenai kewujudan dua negara, iaitu sebuah negara Palestin merdeka yang bersebelahan dengan Israel.
Ketika itu, pemimpin Barat menyambutnya sebagai kejayaan besar, malah berjaya mendapat sokongan kebanyakan negara Islam yang turut menjadikan "dua negara" sebagai dasar luar mengenai konflik Palestin.
"Penyelesaian dua negara" juga dilihat negara Islam sebagai jalan tengah yang membolehkan mereka mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, sekutu utama Israel, dan pada masa sama menyokong Palestin yang merdeka.
Antara yang menerima cadangan itu ialah Malaysia, yang masih menjadikannya pendirian rasmi di forum antarabangsa.
Ia dicabar baru-baru ini oleh Khairy Jamaluddin, bekas pemimpin Umno, yang menyeru supaya penyelesaian dua negara diabaikan Malaysia.
"Israel langsung tidak percaya dengan penyelesaian dua negara. Mereka tidak melakukan apa-apa dalam dekad yang lalu untuk menunjukkan mereka komited terhadap penyelesaian dua negara," kata bekas menteri itu melalui sesi podcast Keluar Sekejap pada Februari lalu.
"Mereka (Israel) berpura-pura bahawa mereka menghormati penyelesaian dua negara tetapi mereka tidak. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk Malaysia berhenti berkata bahawa kita menyokong penyelesaian dua negara."
Gesaan itu bukanlah baru. Sebulan sebelum serangan 10 Oktober oleh Hamas, badan pemikir Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang selari dengan pendirian Asean untuk menyokong penyelesaian dua negara.
"Memandangkan komitmen Malaysia di masa lalu terhadap pemerintahan sendiri dan hak asasi manusia, kami menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula dan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap apartheid Israel," kata Azril Mohd Amin dari Centhra, sambil menambah penyelesaian tersebut hanya boleh berlaku atas dasar mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Anwar masih kekal menyokong cadangan itu, ketika lawatan ke Jerman baru-baru ini di mana beliau dan Canselor Olaf Scholz menggesa masyarakat antarabangsa mendesak penyelesaian dua negara.
Walaupun Israel asalnya diwujudkan atas tanah Palestin yang dirampas, ramai yang menganggap "dua negara" sebagai berpijak pada realiti semasa, dengan harapan sekurang-kurangnya ia dapat mengembalikan keamanan di Timur Tengah.
Malah pergerakan Hamas, antara yang paling lantang menentang penyelasaian itu yang memberi pengiktirafan kepada kewujudan Israel di atas tanah yang dirampas, turut berubah pendirian apabila piagamnya pada 2017 menyatakan ia sesuatu yang boleh diterima.
Bagaimanapun, untuk mencapainya memerlukan beberapa syarat dipenuhi Israel, termasuk status Baitulmaqdis, penempatan haram Israel dan hak pelarian Palestin untuk pulang, yang kesemuanya gagal dipenuhi regim tersebut.
Peperangan terkini yang meletus di Gaza sebenarnya menguburkan terus "penyelesaian dua negara", lebih-lebih lagi apabila ramai pemimpin Israel secara terbuka menentang sebarang negara Palestin, malah menggesa pengusiran dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.
Dua minggu selepas serangan hendap 7 Oktober oleh Hamas, Craig Mokhiber, bekas pengarah Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB di New York dalam surat peletakan jawatannya berkata penyelesaian dua negara kini menjadi bahan jenaka dan mustahil untuk dicapai.
Penganalisis Syed Ahmad Israa Syed Ibrahim berkata, pandangan itu sudah lama disuarakan beberapa pihak di Malaysia.
"Menolak solusi dua negara memang berlawanan dengan pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi ia tidak bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
"Malaysia berhak membuat pendirian begitu dan berhak melobi negara lain untuk berpendirian sama," kata Syed Ahmad yang mengetuai badan pemikir Institut IRIS.
Menurutnya, memandangkan penyelesaian dua negara ditolak Israel sendiri, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar menilai semula sokongannya untuk cadangan itu.
Humanitarian Care Malaysia (MyCare), sebuah pertubuhan amal yang aktif menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza, berkata penyelesaian dua negara tidak boleh dilaksanakan dalam kerangka sistem apartheid Israel yang merampas tanah daripada rakyat Palestin.
"Bagi Malaysia, penyelesaian dua negara tidak mungkin tercapai kerana Malaysia tidak akan pernah mengiktiraf Israel sejak penubuhannya pada 1948 dan tidak akan mengiktiraf Israel yang diwujudkan atas negara Palestin yang dicuri. Apatah lagi negara Palestin yang wujud bersebelahan penakluknya selama 75 tahun," kata penasihat MyCare, Hafidzi Mohd Noor.
Namun penganalisis Azmi Hasan berkata penyelesaian dua negara adalah cara paling "masuk akal" ketika ini.
"Malaysia tetap berpegang kepada beberapa prinsip penyelesaian dua negara iaitu sempadan pra perang 1967, Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara dan hak pelarian Palestin pulang semula dari negara-negara lain," katanya.