- Iklan -
Berita

Video kritik kerajaan terus disekat, akaun dipadam

Dasar Putrajaya di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim dilihat terus menyekat kebebasan bersuara dengan siri sekatan khususnya di platform TikTok.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
YB Viral, Na'im Brundage dan Ratu Naga, antara pengkritik kerajaan yang disekat akaun TikTok mereka.
YB Viral, Na'im Brundage dan Ratu Naga, antara pengkritik kerajaan yang disekat akaun TikTok mereka.

Kebebasan bersuara di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim terus dipersoal apabila pempengaruh media sosial yang tidak sehaluan dengan kerajaan mendapati akaun mereka kerap disekat atau dipadam.

Tindakan itu dikenakan terhadap akaun beberapa pempengaruh kerana mengkritik dasar-dasar kerajaan.

Na'im Brundage, yang kerap memuatkan video pendek mempersoalkan dasar kerajaan, mendapati akaun TikToknya disekat buat kali ketiga pada 26 Mac lalu.

Ulasan Na'im yang terakhir ialah kritikannya terhadap tindakan mengadakan mesyuarat PKR di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri. 

Akaun tersebut dimulakan tidak sampai sebulan, tetapi sudah mempunyai lebih 14,300 pengikut. 

Kali pertama akaunnya disekat ialah pada 20 Februari, menyebabkan beliau kehilangan 120,400 pengikut, selepas memuatnaik kritikan mengenai cara jawapan Anwar kepada wartawan yang bertanyakan soalan mengenai kejatuhan ringgit. 

Pada 9 Mac, akaun kedua dengan 35,000 pengikut pula disekat.

Na'im berkata semua video yang dimuatkannya tidak pernah dilaporkan (flagged) atas sebarang pelanggaran komuniti.

"Saya sudah hantar laporan ke pengurusan TikTok beberapa kali namun tidak mendapat sebarang penjelasan," katanya kepada MalaysiaNow. 

Secara kumulatif, video Na'im mendapat "likes" sebanyak dua juta kali.

Na'im juga berkata dia tidak pernah menyentuh isu membabitkan kaum, agama dan istana (3R), iaitu alasan yang sering digunakan pemimpin kerajaan untuk mengambik tindakan terhadap pengkritiknya mahupun ahli politik pembangkang.

Apa yang dihadapi Na'im semakin kerap berlaku terhadap puluhan rakyat Malaysia lain termasuk ahli politik, yang mendapati akaun TikTok mereka tiba-tiba terpadam.

Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin pada 27 Februari lalu memberitahu Dewan Rakyat yang video TikToknya mengulas kejatuhan nilai ringgit telah dipadamkan. 

Begitu juga pempengaruh Ratu Naga yang kerap memuat naik video berupa sindiran terhadap pemimpin kerajaan, dan YB Viral yang terkenal dengan ulasannya yang memfokuskan pengurusan ekonomi kerajaan.

Sehingga kini, tujuh akaun TikTok milik YB Viral dikenakan sekatan geo membabitkan 50 video.

Sekatan geo bermakna video-video tidak boleh ditonton oleh pengguna di Malaysia melainkan dengan akses VPN. 

"Kami difahamkan, sekatan geo ini adalah kerana arahan kerajaan," kata YB Viral kepada MalaysiaNow.

"Nasib baik, video-video saya dimuatnaik oleh akaun netizen-netizen lain," katanya.

Menurutnya, siri sekatan dalam platform TikTok menyebabkan tontonan video di laman Facebook dan YouTube meningkat.

Kerajaan cuci tangan

Sehingga kini, kerajaan masih cuba menafikan ia terlibat dalam siri sekatan, sebaliknya berkata perkara itu adalah tindakan pengendali platform itu sendiri.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengakui kerajaan memohon kepada pengendali platform seperti TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malayia (SKMM), agensi di bawah kawalan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, hanya platform TikTok milik syarikat China itu yang dilihat menurut kehendak SKMM.

Sebaliknya, platform lain seperti X dan YouTube beberapa kali menolak permintaan kerajaan menurunkan kandungan sejajar dengan dasar kebebasan bersuara.

Sejak memulakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab hal media, Fahmi dikritik oleh kumpulan wartawan kanan kerana menyekat beberapa portal berita.

Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Sekatan juga dibuat ke atas portal TV Pertiwi dan Utusan TV.

Tindakan itu mendapat perhatian Reporters Without Borders (RSF), pemantau media global yang menyediakan indeks kebebasan media di seluruh dunia setiap tahun.

"RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cédric Alviani pada September lalu.

Bagi Na'im, tidak ada sebab munasabah untuk TikTok menyekat akaunnya selain mendapat tekanan daripada SKMM. 

Katanya, kerajaan gagal melawan naratif kritikal di media sosial. 

"Jalan paling mudah adalah untuk memadamkan platform-platform media sosial mereka. Secara tidak langsung ini bercanggah dengan hak kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Na'im yang berikrar untuk terus memuat naik videonya.