- Iklan -
Berita

Mengaku sahaja kesilapan, mufti Perlis beritahu Fadhlina dalam kontroversi 'kafir'

Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan menteri pendidikan itu menimbulkan isu itu sedangkan umat Islam tidak menggunakannya dalam pergaulan harian.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin terkilan dengan isu 'kafir' yang ditimbulkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sedangkan umat Islam tidak biasa menggunakan istilah itu dalam pergaulan harian bersama bukan Islam.
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin terkilan dengan isu 'kafir' yang ditimbulkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sedangkan umat Islam tidak biasa menggunakan istilah itu dalam pergaulan harian bersama bukan Islam.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan keperluan seorang menteri kerajaan menyatakan rasa kurang senang dengan penggunaan label "kafir" sedangkan ia tidak menjadi isu di kalangan umat Islam di negara ini.

Asri mengulas kontroversi yang menyelubungi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selepas tular video ucapannya di sebuah majlis di mana pemimpin PKR itu memberitahu beliau mengharamkan penggunaan istilah "kafir" di kalangan anak-anaknya.

Dalam ucapan itu, Fadhlina berkata ini kerana memanggil rakyat bukan Islam di negara ini sebagai "kafir" adalah tidak wajar.

Asri berkata ucapan Fadhlina itu tidak menjadi isu sekiranya pengharaman itu di sekolah atau di tempat awam, ataupun sekiranya anaknya suka memanggil orang bukan Muslim "kafir".

"Namun, apabila disebutkan 'di rumah', maka amat pelik, apakah ada kecenderungan dalam keluarga memanggil sesama sendiri 'kafir'?!"

Asri menjelaskan, umat Islam di Malaysia sememangnya tidak memanggil orang bukan Islam sebagai "kafir" dalam pergaulan harian mereka.

Sebaliknya, istilah itu biasanya digunakan sebagai rujukan dalam perkara aqidah.

"Tiada siapapun dalam negara ini menyuruh memanggil mereka yang berlainan agama 'hai kafir' ketika bergaul dan berdialog," kata Asri.

Selepas menerima kritikan hebat, Fadhlina mendakwa beliau difitnah dan membuat laporan polis.

Asri bagaimanapun menasihatkan Fadhlina supaya perbetulkan ucapannya. 

"Jangan sebut video tidak penuh, nanti masyarakat Muslim akan minta video penuh. Bimbang, banyak hal lain mungkin akan timbul. Beritahu sahaja, ada kesilapan dalam ucapan tersebut."

Menurut Asri, dengan mengajak orang ramai berhenti mengunakan perkataan "kafir", ia memberikan persepsi tidak betul terhadap umat Islam.

"Ia membohongi sikap baik yang sedia ditunjukkan oleh masyarakat Muslim, seakan orang muslim di Malaysia memilih panggilan yang tidak sesuai kepada masyarakat bukan Muslim ketika berinteraksi, padahal itu tidak berlaku."

Asri berkata kemarahan terhadap ucapan Fadhlina adalah disebabkan beberapa kempen di peringkat antarabangsa yang cuba mengharamkan beberapa istilah yang digunakan dalam akidah Islam. Ini termasuk kalimah jihad dengan alasan ia berkait dengan keganasan, di samping konsep lain seperti kafir, syirik, murtad, dan keyakinan bahawa Islam agama yang benar.

"Bayangkan jika video itu tidak dikritik. Sudah banyak bulan ia beredar, tiada jawapan sekalipun beberapa pihak telah membantah. Setelah desakan kuat, barulah ditimbulkan kononnya ada konteks yang tersendiri. Itupun sangat ganjil," kata Asri, yang mempertahankan hak umat Islam membantah ucapan Fadhlina "kerana ia boleh membawa maksud yang sangat salah".

Asri berkata "amat menggusarkan" apabila seorang menteri yang mempunyai kuasa dalam lapangan pendidikan menimbulkan perkara itu.

"Ada yang menyatakan video itu tidak lengkap. Jika benar dakwaan itu, maka, sila tunjukkan yang lengkap untuk rakyat faham. Dibimbangi jika yang lengkap ditunjukkan, banyak lagi hal lain yang muncul. Jawapan beliau dalam isu ini amat ganjil."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.