Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sekali lagi menjadi sasaran kritikan orang ramai, kali ini berhubung sebuah klip videonya yang seolah-olah tidak menghiraukan kebimbangan awam mengenai keselamatan data peribadi dalam PADU, menjelang tarikh tamat pendaftaran untuk pangkalan data kerajaan itu semalam.
Dalam video pendek yang dimuat naik di beberapa platform media sosialnya pagi semalam, Rafizi sambil tersenyum berkata beliau "sudah penat" untuk berpantun seperti mana yang dibuatnya dalam beberapa video sebelum itu untuk menyeru orang ramai berdaftar dengan PADU.
"Hari ini tak da pantun. Suka koranglah, nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya," katanya dengan nada sinis di sebalik pelbagai kritikan mengenai PADU.
Pendaftaran PADU berakhir malam tadi, dengan Rafizi mendakwa lebih 10 juta orang mengemas kini rekod kewangan dan butiran peribadi mereka.
Video Rafizi itu menerima kecaman di ruang komen akaunnya di Facebook dan Instagram.
"Ini ke sikap seorang menteri dalam kerajaan Madani? Baik letak jawatan je," tulis pengguna Instagram ismailaidabinti.
"Tak pernah lagi dengar seorang menteri halai balai cakap dekat rakyat. Kalau tak mau berkhidmat untuk rakyat letak jawatan ja... rakyat pun dah menyampah bro," komen seorang lagi pengguna azali_azizan.
Sementara ievonnlution mengadu tidak dapat membuat pembetulan untuk butiran yang diisi.
"Ini ke cara kerajaan nak manage something? Kalau tak ready, jangan announce dan release la. Duh."
Beratus-ratus kritikan turut membanjiri ruang komen di Facebook milik Rafizi.
"Ada 3 sebab saya tak isi. Yang pertama sebab saya tak yakin dengan pengurusan data PADU, yang kedua saya tak rasa saya akan dapat apa-apa manfaat subsidi. Yang ketiga saya nak tengok dulu apa jadi selepas ini," kata Khairunnisa Suboh.
"Macam beli kereta, orang kata jangan beli 1st batch sebab kita tak tahu apa masalah model berkenaan."
Pengguna Richard Wong pula mahu Rafizi menjawab beberapa kemusykilan, termasuk laporan yang orang ramai akan didaftarkan secara automatik sekiranya tidak melakukannya sendiri.
"Kenapa kementerian tidak menyatakan lebih awal, yang tidak berdaftar akan didaftarkan secara automatik? " tulisnya.
Semalam, Ketua Perangkawan Uzir Mahidin berkata PADU masih menyimpan data asas orang ramai termasuk mereka yang tidak mengemas kini maklumat yang sudah didaftarkan secara automatik.
MalaysiaNow mendapati ramai yang mengaku tidak memberikan maklumat yang diminta ketika mengemaskini rekod mereka dalam PADU atas kebimbangan keselamatan data.
Baca lanjut: Bimbang keselamatan data, ramai enggan isi maklumat tepat dalam PADU
Sebelum ini, kerajaan Sarawak pimpinan GPS antara yang paling lantang mempersoalkan keberkesanan PADU, di samping menyatakan rasa tidak puas hati mengenai butiran peribadi yang menurutnya tidak relevan.
Rafizi dalam responsnya memberi jaminan PADU adalah selamat kerana dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam, sambil menambah ia memenuhi piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.
Menurutnya, PADU juga tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi sementara peralatan komputer dilindungi di bawah Akta Jenayah Komputer, di samping hanya pegawai yang ditapis oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dibenarkan akses.
Bagaimanapun, ia tidak menghilangkan kebimbangan pelbagai pihak.
Antaranya Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong, yang berkata Rafizi masih gagal meyakinkannya mengenai PADU.
"Kalau sudah ada maklumat, kenapa nak ambil maklumat yang sama lagi daripada kita? Padu ini untuk apa sebenarnya? Nak kumpul apa lagi kalau mereka kata sudah ada maklumat dari kita?" presiden MCA itu memberitahu MalaysiaNow baru-baru ini.