- Iklan -
Berita

Markah merah untuk Rafizi selepas marah rakyat yang enggan daftar PADU

Menteri ekonomi dinasihatkan jangan bertindak sebagai ahli politik.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Rafizi Ramli perlu tangani kritikan sebagai menteri dan bukan ahli politik, kata pakar komunikasi.
Rafizi Ramli perlu tangani kritikan sebagai menteri dan bukan ahli politik, kata pakar komunikasi.

Sikap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli  yang menyindir mereka yang tidak mendaftar dalam pangkalan data PADU yang dipromosikannya menunjukkan kegagalan komunikasi di pihaknya, menurut pakar yang menasihati pemimpin PKR supaya menghormati pengkritiknya.

Mereka berkata Rafizi perlu faham keraguan terhadap PADU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai serangan terhadap kerajaan.

"Menteri harus melayan orang ramai dengan lebih hormat. Orang ramai bukan bodoh. Mereka enggan mendaftar bukan kerana tidak menyokong kerajaan," kata Shafizan Mohamed, pensyarah komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa.

"Mereka tidak mendaftar kerana kamu (Rafizi) gagal beritahu mengapa mereka perlu mendaftar," katanya kepada MalaysiaNow.

Rafizi baru-baru ini memuat naik klip pendek di laman media sosialnya, sebahagian daripada siri video promosi dengan menyelitkan pantun menggalakkan orang ramai mendaftar untuk PADU.

Bagaimanapun, pada hari terakhir pendaftaran Ahad lalu, Rafizi berkata beliau sudah "penat" berpantun.

"Hari ini tak da pantun. Suka koranglah, nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya," katanya, mencetuskan ratusan komen negatif.

PADU dipromosikan sebagai pangkalan data yang menjadi teras pelaksanaan subsidi bersasar.

Bagaimanapun, ramai melahirkan rasa kurang senang dengan kerahsiaan maklumat mereka dalam pangkalan tersebut, termasuk kerajaan Sarawak pimpinan GPS yang bertindak menangguhkan pendaftaran.

Shafizan berkata setakat ini, penjelasan mengenai matlamat PADU oleh Kementerian Ekonomi bersifat "generik".

"Daripada meminta rakyat mendaftar dengan PADU, mereka sepatutnya mewujudkan mekanisme yang jelas untuk subsidi yang disasarkan terlebih dahulu. Barulah kita tahu mengapa perlu daftar," katanya, dan menambah orang ramai tidak melihat faedah mendaftar pada pangkalan data.

Pensyarah komunikasi UiTM Abd Aziz Azizam berkata sambutan hambar terhadap PADU menandakan kurangnya kepercayaan kepada kerajaan.

Beliau mempersoalkan pendekatan "carrot-and-stick" oleh Rafizi dalam menggalakkan orang ramai mendaftar.

“Ianya tidak akan memberikan jaminan apa-apa untuk orang awam bertambah yakin dengan kempen pendaftaran pangkalan data ini."

Aziz berkata Rafizi harus lebih pragmatik dalam menyampaikan maklumat, dan tidak bersikap seperti ahli politik dalam mendepani kritikan.

Sementara itu, Shafizan menasihatkan pemimpin PKR itu tenang dalam menghadapi kritikan berhubung privasi data, sambil menambah kebimbangan sedemikian adalah sah.

"Ia bukan hanya mengenai sistem, tetapi bagaimana kerajaan menggunakan data ini. Nampaknya jawapan menteri terhadap kritikan sentiasa berbaur politik. Dia perlu menjawab seperti seorang menteri, bukan ahli politik.

"Sama ada seseorang membuat keputusan untuk mendaftar atau tidak, ia melangkaui fahaman politik," katanya.

Penganalisis politik Kartini Aboo Talib berkata, video terakhir Rafizi menunjukkan beliau sudah berputus asa.

"Beliau perlu meningkatkan kempen dan tidak berputus asa," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah kementerian perlu menguruskan kerisauan bahawa data yang dikumpul boleh digunakan untuk tujuan politik.