Fatimah (bukan nama sebenar) duduk di sebelah kedua-dua ibu bapanya sambil mengenangkan waktu dirinya demam panas beberapa tahun lalu tetapi tidak boleh mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
Dengan keadaan sebak, anak sulung daripada lima beradik itu berkata setiap kali sakit, dirinya tidak berani untuk berjumpa doktor disebabkan satu sebab.
"Bukan sebab tak mampu bayar tetapi sebab malu, rendah diri dan bimbang dengan maklum balas orang apabila saya beritahu bahawa saya tiada kad pengenalan dan identiti warganegara," katanya kepada MalaysiaNow.
Kini, Fatimah, 41, menyifatkan kehidupannya amat sukar apabila proses untuk mendapatkan kerakyatannya ditolak sebanyak dua kali tanpa alasan kukuh.
Katanya, permohonan pertama dibuat pada 2002 di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, kemudian pada 2017 di bawah Perkara 19.
Jurang satu hari
Pada 2018, Fatimah dipanggil ke sesi temuduga. Empat tahun kemudian, dia dimaklumkan gagal dalam permohonannya.
Semuanya kerana Fatimah dilahirkan ketika ibunya masih belum menjadi warganegara.
Tetapi tarikh kelahiran Fatimah pada bulan September 1983 hanyalah sehari sebelum dokumen ibu dikeluarkan.
Di samping itu, permohonannya gagal kerana pasport Indonesia yang dimilikinya semasa permohonan pada 2002 dan ketiadaan permit masuk.
"Ini yang menambahkan kekeliruan sedangkan saya dilahirkan di Malaysia, di Hospital Klang, mendapat pendidikan dari pra sekolah sehingga peringkat diploma di Malaysia," katanya sambil menegaskan pasport Indonesia di bawah namanya itu tidak pernah digunakan.
Kedua-dua ibu bapanya dan semua adik-beradiknya sudah pun menjadi warganegara Malaysia.
Dari umur 12 sampai 21, dia bergantung kepada kad pengenalan Pemaustatin Tetap berwarna merah.
Selepas itu, dia memegang kad pengenalan MyKas berwarna hijau selama 15 tahun sehingga tamat tempoh pada 2019.
Permohonannya untuk memperbaharui MyKas ditolak sebanyak tiga kali, kali terakhir pada 2020.
Ini menjadikannya bukan sahaja tiada kerakyatan, tetapi juga tiada dokumen identiti.
Fatimah berkata dirinya, seperti ramai yang lain tanpa kerakyatan, tidak dapat jalani kehidupan normal.
Ini termasuklah mendapatkan lesen memandu, memiliki nombor telefon sendiri, akaun bank sendiri mahupun perniagaan sendiri.
Sepanjang empat dekad, berpuluh-puluh pegawai kerajaan yang diemuinya untuk memperjuangkan nasibnya mendapatkan kad pengenalan dan status warganegara di tanah kelahirannya sendiri.
Bukan itu sahaja, dia dan keluarga turut mengutus surat dan emel kepada pemimpin negara supaya membantu perjuangannya itu.
Pada Ogos tahun lalu, dia menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merayu supaya janji Pakatan Harapan menyelesaikan masalah tersebut ditunaikan.
Surat itu diserahkan sendiri oleh ibu dan adik-adiknya kepada Nurul Izzah, anak sulung Anwar, pada satu program kempen pilihan raya negeri di Pandamaran, Klang.
Pada 21 Mac yang lalu, dia menghantar emel kepada pejabat PKR dengan harapan akan mendapatkan perhatian parti kerajaan itu.
Kedua-dua surat tersebut sudah dilihat oleh MalaysiaNow.
Terkilan sikap ahli politik
Sejauh mana PKR akan melayan Fatimah boleh diduga.
Ia susulan cubaan kerajaan baru-baru ini meminda perlembagaan menafikan kewarganegaraan automatik kepada mereka yang tanpa kerakyatan walaupun dilahirkan di dalam negara.
Cadangan itu menerima bantahan keras aktivis yang membela golongan tanpa kerakyatan dan anak terdampar.
Bagaimanapun, langkah kerajaan tidak meneruskan cadangan itu dikritik Perikatan Nasional, menjadikan Fatimah terkilan.
Katanya, keperitan hidupnya sebagai individu tanpa kerakyatan tidak akan dirasai oleh ahli politik.
Katanya, mereka yang mempunyai nasib sepertinya tidak boleh mengungkapkan perasaan dan penderitaan hidup melalui kata-kata.
"Jadi kerana 'tidak akan faham' atau 'tak dapat rasa' itulah menyebabkan penindasan akan terus berlaku kepada individu-individu seperti saya.
"Kesannya bukan pada diri dan kehidupan mereka. Kesannya hanya pada kami yang tiada apa-apa status ini.
"Adakah mereka semua sedar saya bukan hidup hanya semasa pindaan yang hangat diketengahkan sekarang ini?
"Saya sudah hidup dari zaman kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri sehinggalah di bawah Anwar dan Malaysia Madani sekarang ini.
"Selesaikah perjuangan saya?" soalnya, suaranya terkadang terputus menahan emosi.