- Iklan -
Berita

Diusir anak sendiri, pasangan warga emas beraya di kaki lima

Satu masa dulu menjalankan kehidupan biasa, kini pasangan warga emas ini menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Zainab dan suami merempat di kaki lima berhampiran kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.
Zainab dan suami merempat di kaki lima berhampiran kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.

"Remuk, hancur, luluh hati makcik," kata Zainab (bukan nama sebenar), menceritakan detik hitam dia dan suaminya diusir satu-satunya anak mereka.

Kini mereka merempat di kaki lima berhampiran kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur.

Zainab hilang dua anaknya, masing-masing akibat Covid-19 dan kemalangan. Yang tinggal seorang anak lelaki.

Hatinya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku, dan tidak mungkin akan kembali ke pangkuan anaknya.

"Kalau anak makcik datang sujud di kaki makcik sekali pun, makcik akan halau dia balik. Makcik maafkan, tetapi luka dalam hati terlalu pedih dengan apa yang berlaku," ujarnya. 

Sebelum ini, Zainab dan suami menjalankan kehidupan biasa bekerja di sebuah kilang di Bangi.

Satu hari, anaknya mengajak mereka pulang bersamanya tinggal di Kulim, Kedah.

Dengan duit simpanan KWSP sebanyak RM60,000, Zainab berhenti bekerja untuk tinggal bersama anaknya.

Bagaimanapun, pendapatan anaknya sebagai tukang masak tidak dapat menampung keperluan mereka.

Zainab kembali bekerja, mengambil upah harian RM80 mencuci pinggan dan membersihkan ayam, ditambah dengan duit baki KWSP untuk perbelanjaan harian.

"Setiap kali balik kerja, RM60 makcik berikan kepada menantu untuk beli pampers, susu dan makanan untuk cucu. Makcik pegang RM20 sahaja."

Menurutnya, dia tidak pernah berkira dengan anak lelakinya itu.

Namun, layanan menantu terhadapnya membuatkan Zainab dan suami tawar hati.

Selepas tiga tahun, Zainab dan suami memutuskan keluar dari rumah anaknya.

"Satu hari, makcik dengar menantu tanya kepada anak, 'kau pilih sama ada aku atau orang tua itu," kata Zainab.

Zainab masih ingat ketika November tahun lalu, anaknya menghantar mereka ke stesen bas dengan berbekalkan RM80 sahaja menuju Kuala Lumpur. 

"Duit KWSP RM60,000 dah habis. Tiada apa lagi yang tinggal untuk kami teruskan kehidupan," luahnya sambil mengesatkan air mata. 

Mereka tiba di kawasan sekitar Kota Raya di sebelah pagi, tanpa hala tuju dan tidak tahu ingin ke mana.

Zainab13_Mnow_070424Selama beberapa bulan, mereka menjadikan kaki lima tempat berteduh dan sehingga hari ini, anaknya langsung tidak mencari ibu bapanya dan tidak tahu dengan keadaan kehidupan mereka.

"Makcik pun dah pesan jangan cari-cari makcik lagi bila makcik dah keluar dari rumah.

"Cuma makcik rindukan dua orang cucu makcik, rindu sangat," luahnya.

Zainab beberapa kali cuba mendapatkan tempat berteduh, termasuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, jabatan itu meminta bil air dan elektrik.

"Mana makcik boleh beri sebab makcik sendiri pun duduk di kaki lima, makcik pun ada beritahu makcik perlukan bilik sahaja untuk mandi, solat, basuh baju. Itu sahaja."

Katanya, dia tidak mahu ke rumah orang tua kerana mahu terus bekerja.

Zainab bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran berhampiran dengan upah harian RM50.

Bagaimanapun, disebabkan restoran tutup pada siang hari Ramadan, dia tidak dapat bekerja. 

Kini, dia dan suami mendapat bantuan beberapa badan kebajikan dan NGO yang menyampaikan makanan dan pakaian.

"Setiap hari makcik akan bangun jam 4 pagi untuk solat sunat dan terus sahur dengan lebihan makanan yang ada sewaktu buka puasa," katanya.

Zainab masih tidak dapat membayangkan apa yang menimpanya.

"Makcik tidak pernah langsung membayangkan kehidupan makcik akan beraya di kaki lima. 

"Selama ini makcik melihat gelandangan lain beraya di kaki lima, hari ini makcik merasainya.

"Tiada baju raya, kuih raya, tak apalah. Makcik tetap bersyukur di sini untuk menyambut Aidilfitri."