- Iklan -
Berita

Nga tuduh pihak terlibat kempen boikot Israel sebagai 'penghasut'

Serangan pemimpin DAP itu mengundang kecaman daripada BDS Malaysia.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Nga Kor Ming bersama taikun Vincent Tan ketika pelancaran cawangan Starbucks di premis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, pada Ogos 2023. Gambar: KPKT
Nga Kor Ming bersama taikun Vincent Tan ketika pelancaran cawangan Starbucks di premis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya, pada Ogos 2023. Gambar: KPKT

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menuduh mereka yang menyeru boikot sebagai "penghasut" yang merosakkan ekonomi negara, dalam komen yang ditujukan terhadap kempen boikot beberapa syarikat Amerika Syarikat sebagai membantah sokongan berterusan Washington terhadap Israel.

Nga, yang juga naib pengerusi DAP, mengulas laporan berita berbahasa Cina mengenai pekerja yang terkesan dengan kempen boikot terhadap sebuah jenama makanan segera, antara yang menjadi sasaran kempen boikot anti-Israel sejak tahun lalu.

"Jangan sekali-kali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara," kata Nga dalam satu kiriman di media sosial.

Beliau menyifatkan mereka yang memboikot rantaian makanan segera sebagai tidak bertanggungjawab, sambil menambah ia menjejaskan ekonomi Malaysia.

Komen itu mendapat reaksi keras daripada netizen, yang mengkritik Nga kerana menyalahkan ekonomi yang lemah ke atas kempen boikot anti-Israel.

Ketika dihubungi, BDS Malaysia, kumpulan di sebalik kempen antarabangsa memulau kepentingan AS dan Israel, mempersoalkan Nga kerana cuba menuduh kempen tersebut sebagai punca kemerosotan ekonomi.

"Kalau orang boikot satu kedai, dia akan beli dari kedai lain pula," Pengerusi BDS Malaysia Nazari Ismail memberitahu MalaysiaNow.

Beliau memberikan contoh dua produk, masing-masing jenama komputer dan stesen petrol, yang disasarkan BDS Malaysia untuk diboikot.

"Kalau orang tak beli komputer XX, dia akan beli komputer lain. Kalau tak pergi stesen minyak XX, mereka pergi stesen minyak lain. Ada banyak pilihan. Jadi ekonomi secara umum tak terkesan sebenarnya. Cuma syarikat yang kena boikot sahaja yang terkesan."

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyuarakan sentimen sama, berkata kempen boikot sebelum ini, termasuk ketika pentadbiran Najib Razak, tidak memberi kesan kepada ekonomi.

"Kepada YB menteri Nga Kor Ming yang kurang bijaksana, ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang mcm kamu! Bodoh!" katanya dalam catatan Facebook.

Kenyataan itu mendapat pujian netizen, tetapi ada juga yang mempersoalkan Akmal dan kepimpinan Umno kerana masih menjadi sekutu Pakatan Harapan (PH).

"Dari dulu lagi rakyat tahu PH bodoh, yang kamu (Umno) terhegeh-hegeh tubuh kerajaan dengan mereka tu kenapa? Jangan pakai dalil titah YDPA pula," tulis Akmal Izzad.

Pada November lalu, McDonald's, salah satu yang paling terkesan dengan kempen boikot itu, mencetuskan tanda tanya selepas mendakwa sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa pertuduhan menghasut terhadap mereka yang berkempen untuk memulau syarikat itu.

Dalam hantarannya yang telah pun dipadamkan, beberapa wakil syarikat itu berkongsi gambar bersama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohamad Salim.

Kesan daripada kempen boikot itu, beberapa syarikat francais AS di negara-negara Islam didorong untuk menunjukkan rasa simpati mereka kepada rakyat Palestin dengan mengumumkan bantuan kemanusiaan untuk Gaza, di samping cuba menjauhkan diri daripada pemilik francais.

Di Malaysia, syarikat seperti KFC, misalnya, menaikkan sepanduk memberitahu pelanggan yang syarikat itu dimiliki entiti tempatan.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan kempen boikot terhadap syarikat-syarikat makanan segera ini, yang dilihat berjaya apabila cawangan-cawangan McDonald's dan KFC yang biasanya sibuk di seluruh negara hampir lengang walaupun pada waktu puncak.

Nasib sama turut menimpa Starbucks Malaysia, di mana syarikat itu terpaksa menanggung kerugian hasil kempen boikot yang agresif.

Di Malaysia, Starbucks dimiliki oleh Berjaya Food, iaitu sebahagian daripada Berjaya Corporation, konglomerat milik jutawan terkemuka Vincent Tan.

Syarikat itu juga memiliki rangkaian runcit 7-Eleven, yang pengerusinya ialah Farhash Wafa Salvador, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada Disember lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa 7-Eleven di Israel menyatakan sokongannya terhadap tindakan ketenteraan di Gaza.

Ketika Israel bersiap sedia menyerang Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober, 7-Eleven di negara itu menawarkan diskaun 50% kepada askar yang dikerah untuk operasi tentera di Gaza yang setakat ini telah membunuh lebih 30,000 orang awam Palestin.

Sebelum kenyataan terbaru Nga, sebuah klip video yang disebarkan di WhatsApp mengecam menteri itu kerana merasmikan cawangan Starbucks di lobi kementeriannya di Putrajaya.

Cawangan Starbucks tersebut, yang dibuka hanya dua bulan sebelum pengeboman Israel ke atas Gaza pada Oktober lalu, adalah satu-satunya cawangan syarikat kopi itu di premis sebuah kementerian.

Kenyataan terbaru Nga dilihat mencetuskan kembali ketegangan antara Pemuda Umno dan DAP ketika episod "stokin Allah" kelihatan mula reda.

Akmal baru-baru ini membatalkan hasratnya meneruskan boikot rangkaian runcit KK Mart selepas penemuan stokin tertera nama "Allah".

Pemimpin DAP sebaliknya bertindak menunjukkan solidariti dengan KK Mart dan menggesa orang ramai membeli-belah di rangkaian runcit itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.