- Iklan -
Berita

Nasib malang gelandangan warga emas di tangan pegawai JKM pada Hari Raya ketiga

Dua pegawai JKM bertindak biadap terhadap pasangan warga emas yang diusir anak mereka November lalu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Zaleha Haron berkata dia diugut dan dimarahi dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas kisahnya menjadi tular.
Zaleha Haron berkata dia diugut dan dimarahi dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas kisahnya menjadi tular.

Nasib malang seorang wanita warga emas dan suaminya yang terpaksa menyambut Ramadan dan Syawal di kaki lima tidak berkesudahan apabila mereka didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tular laporan MalaysiaNow mengenai kisah mereka baru-baru ini.

Minggu lalu, MalaysiaNow menceritakan kisah sedih yang menimpa wanita yang diperkenalkan sebagai Zainab dan suaminya, yang sejak November lalu terpaksa merempat sebagai gelandangan di Kuala Lumpur selepas diusir anaknya sendiri.

Nasib wanita itu, yang nama sebenarnya Zaleha Haron, dan suaminya yang mengalami masalah kemurungan, mendapat perhatian luas, menyebabkan MalaysiaNow tidak putus-putus menerima emel dan panggilan telefon daripada orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut bagi menyalurkan sumbangan.

Bagaimanapun, keprihatinan yang ditunjukkan orang ramai itu jauh berlawanan dengan sikap dua pegawai JKM yang datang berjumpa Zaleha selepas laporan mengenainya dibawa kepada perhatian pihak berkuasa itu.

MalaysiaNow difahamkan pegawai tersebut berjumpa dengan Zaleha selepas arahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Bagaimanapun, jauh daripada menolong pasangan itu, dua pegawai itu memaksa pasangan suami isteri itu mengemas barang mereka dan meninggalkan Kuala Lumpur.

Mereka kemudian dibawa menaiki kereta ke Terminal Bas Bersepadu (TBS) di Bandar Tasik Selatan untuk menaiki bas ke Muar, Johor, di mana pasangan itu pernah tinggal satu masa dulu. 

Zaleha bagaimanapun cuba memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa hubungan di Muar yang sudah lama ditinggalkannya.

Dia juga enggan pulang ke pangkuan anak dan menantunya yang bertindak mengusirnya di Kulim pada November lalu, peristiwa yang menyebabkan mereka membawa diri ke Kuala Lumpur.

Zaleha cuba menjelaskan kepada pegawai itu keinginannya untuk meneruskan kerja mencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran berdekatan dengan kawasan kaki lima yang menjadi tempat tinggal dia dan suaminya.

Rayuan Zaleha itu bagaimanapun tidak diendahkan.

“Mereka datang dan terus bertanya, 'Ini apa ada payung-payung semua dekat sini? Cerita makcik dah jadi viral keluar sana sini, siap menangis konon... menyusahkan orang sahaja.

Galeri gambar: Pasangan warga emas beraya di kaki lima

"'Kenapa nak keluarkan berita cerita makcik ni? Kenapa tidak minta kepada JKM terus?'" kata Zaleha menceritakan apa yang berlaku pada Hari Raya ketiga yang lalu.

Zaleha sebelum ini membuat permohonan kepada JKM untuk menyewa bilik, sebaliknya dia diminta membawa bil air dan elektrik bagi memenuhi syarat kelayakan. 

“Mereka tidak peduli dengan apa yang makcik katakan,” katanya. 

“Kemudian pegawai itu tanya nak dihantar balik ke Kulim kah? Makcik kata tidak mahu sebab tahu anak tidak akan menerima makcik dan pakcik lagi setelah dihalau keluar."

Tanpa menghiraukan penjelasan Zaleha, pegawai itu membawa Zaleha dan suami ke TBS.

Zaleha berkata sepanjang perjalanan ke TBS, telefon bimbitnya dirampas oleh pegawai JKM yang memantau panggilan keluar masuk.

Bagaimanapun, Zaleha berkata dia sudah pun menghubungi seorang kenalannya ketika kedua-dua pegawai membuat kecoh di kaki lima sebelum itu.

Kenalan wanita itu bersama suaminya terus bergegas ke TBS untuk menghalang pegawai tersebut.

Sejurus di TBS, pertikaman lidah berlaku antara dua pegawai JKM dan kenalannya, yang memarahi mereka kerana merampas telefon bimbit Zaleha.

Zaleha Haron kini diberikan tempat tinggal sementara oleh seorang rakannya sehingga dia mampu menyewa bilik.
Zaleha Haron kini diberikan tempat tinggal sementara oleh seorang rakannya sehingga dia mampu menyewa bilik.

"Barulah pegawai JKM itu pulangkan telefon makcik," kata Zaleha, yang turut memberitahu mereka ditempatkan di balai pondok sebaik sahaja tiba di TBS.

Zaleha kesal dengan sikap bengis kedua-dua pegawai itu, yang menurutnya turut memberi amaran kepadanya supaya tidak menyebarkan apa yang berlaku terhadapnya. 

Tambahnya, mereka turut mengugut untuk membatalkan status penduduk tetap (PR) suaminya.

“Mereka pesan pada makcik, 'jangan nak keluar cerita apa-apa lagi lepas ni, kalau viral lagi, saya ambil kad pengenalan pakcik  dan saya gunting kad pakcik," kata Zaleha, yang berkata pegawai JKM itu terdiri daripada dua wanita, seorang berbangsa Melayu dan seorang India.

Insiden itu bagaimanapun berakhir dengan pegawai JKM itu bersetuju melepaskan Zaleha dan suaminya.

Mereka kini tinggal sementara di sebuah rumah milik rakannya sehingga menunggu bantuan yang membolehkan mereka menyewa tempat tinggal sendiri. 

“Makcik ingatkan kesedihan ini sudah berakhir. Sudah lah anak sendiri pun halau, JKM pula buat begini.

"Sedih sangat makcik. Hanya Allah sahaja yang tahu,” ujarnya.

Ditanya bagaimana orang ramai boleh menyalurkan sumbangan, Zaleha berkata dia mempunyai akaun Bank Islam tidak ingat nombor akaun tersebut.

MalaysiaNow akan memaklumkan kepada pembaca sebaik sahaja butiran akaun Zaleha diterima.