- Iklan -
Berita

Satu turun, satu lagi naik: Pempengaruh TikTok tak serik akaun dipadam berkali-kali

Na'im Brundage antara yang sudah biasa dengan kehilangan akaun TikTok dan pengikutnya yang ramai.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Na'im Brundage tidak serik akaun TikToknya dipadam, malah terus mewujudkan akaun baru.
Na'im Brundage tidak serik akaun TikToknya dipadam, malah terus mewujudkan akaun baru.

Biasanya seseorang pempengaruh akan dinilai berdasarkan bilangan pengikut dan "subscribers" di saluran media sosialnya.

Tetapi bagi TikToker politik Na'im Brundage, bilangan pengikut mungkin tidak lagi menjadi sasarannya.

Ini kerana setiap kali dia memuat naik video mengkritik kerajaan, akaun TikToknya akan dipadamkan tanpa sebarang notis.

Setiap kali dipadam, Na'im kehilangan pengikutnya.

Minggu ini, akaunnya dipadam buat kali kelima. 

Tetapi ia tidak mengambil masa lama untuk Na'im mewujudkan akaun keenam.

Kini, Na'im yang kerap memuat naik klip-klip pendek  mempersoalkan tindak tanduk kerajaan dalam bentuk jenaka, mempunyai sasaran lain.

"Saya menyasarkan sampai 100 akaun menjelang akhir tahun," katanya berseloroh kepada MalaysiaNow.

Ulasan terakhir dimuatnaik Na'im ialah kritikannya terhadap kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung bahawa siasatan ke atas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menunjukkan kerajaan tidak mengamalkan siasatan "pilih kasih". 

Na'im membalas, ramai ahli politik disiasat tetapi tidak ada dari pihak kerajaan yang berdepan tindakan atau pertuduhan.

"Bezanya lepas siasatan tiada sebarang tindakan pun yang diambil," katanya dalam video yang dimuatnaik pada Ahad, memberikan contoh siasatan terhadap pemimpin DAP seperti Tony Pua, Howard Lee dan Ngeh Koo Ham.

"Dan kes kegemaran kita semua, kes Agus," katanya merujuk bekas bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan tidak lama selepas tersebar sebuah klip video menunjukkan beliau dalam perbualan berbaur lucah dengan seorang lelaki PKR.

Setakat ini, Na'im tidak berdepan sekatan di YouTube, sebaliknya terpaksa mewujudkan semula akaun TikToknya beberapa kali.

Kali pertama akaunnya disekat ialah pada 20 Februari, menyebabkan beliau kehilangan 120,400 pengikut, selepas memuatnaik kritikan mengenai cara jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada wartawan yang bertanyakan soalan mengenai kejatuhan ringgit. 

Pada 9 Mac, akaun kedua dengan 35,000 pengikut pula disekat.

Na'im menyimpulkan, "tempoh hayat" akaun TikToknya mempunyai adalah satu atau dua minggu.

Na'im berkata menjelang siri pilihan raya kecil yang akan datang, ada kemungkinan tempoh hayat itu dipendekkan lagi.

"Saya pun dah bersedia dengan puluhan akaun-akaun baru menunggu untuk digunakan apabila akaun terbaru saya disekat." 

Na'im berkata setiap kali akaun baharu dilancarkan, ia berjaya meraih jutaan tontonan dalam tempoh singkat. 

Katanya, ramai pengguna ingin tahu kandungan klip yang dipadam di TikTok, lalu cuba mencarinya di platform lain.

Sementara itu, Na'im tidak mahu memberikan apa-apa mesej kepada Kementerian Komunikasi mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan yang bertanggungjawab membuat aduan kepada TikTok dan penyedia platform mengenai kandungan yang tidak disenangi kerajaan.

"Lebih banyak akaun disekat, lebih banyak penjelasan yang perlu mereka buat di mahkamah satu hari kelak." 

MalaysiaNow sudah menghubungi SKMM untuk butiran lanjut mengenai perkara ini. 

Sekatan semakin kerap di bawah Anwar

Na'im tidak keseorangan dengan nasibnya.

Na'im Brundage meminta peminatnya melayari akaun ke-6 selepas sekatan terbaru di TikTok.
Na'im Brundage meminta peminatnya melayari akaun ke-6 selepas sekatan terbaru di TikTok.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan beberapa pempengaruh yang mengkritik kerajaan, seperti Ratu Naga dan YB Viral, mendapati akaun TikTok mereka dipadam.

Tindakan menyekat kandungan mengkritik kerajaan semakin menjadi-jadi di bawah pentadbiran Anwar, dan sehingga kini kerajaan cuba menafikan ia terlibat.

Bagaimanapun, Putrajaya mengakui meminta pengendali platform seperti TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan SKMM.

Sebaik sahaja menubuhkan kerajaan pada November 2022, platform seperti TikTok diancam kerajaan kerana digunakan meluas oleh penyokong pembangkang.

Setakat ini, hanya TikTok milik syarikat China itu yang menurut kehendak SKMM, sementara beberapa platform lain seperti X, YouTube dan Facebook menolak permintaan menurunkan kandungan hanya semata-mata kerana ia tidak disenangi kerajaan.

Sejak memulakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab hal internet, Fahmi Fadzil dikritik kerana tindakan menyekat laman berita.

Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Sementara itu, sekatan laman TV Pertiwi dan Utusan TV masih kekal, begitu juga blog yang dikendalikan bekas ahli parlimen Wee Choo Keong.

Tahun lalu, Wee diberi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap SKMM kerana menyekat akses ke blognya.

Pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), yang menyediakan indeks kebebasan media di seluruh dunia setiap tahun, turut mengkritik tindakan kerajaan menyekat kebebasan bersuara.

"RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cédric Alviani pada September lalu.

Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Media yang diterbitkan pada 2023.

Berdasarkan kajian sepanjang 2022, iaitu sebelum pentadbiran Anwar, Malaysia diletakkan di tangga teratas di Asia Tenggara, dan melonjak ke tempat ke-73 di peringkat global.