Nasib Najib Razak yang kini dipenjarakan sekali lagi menjadi ancaman terhadap kerjasama 17 bulan antara Umno dan Pakatan Harapan (PH), kali ini berhubung "titah adendum", atau tuntutan tambahan bekas Yang di-Pertuan Agong mengarahkan bekas perdana menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.
Beberapa sumber Umno memberitahu MalaysiaNow bahawa tekanan semakin meningkat terhadap presiden parti Ahmad Zahid Hamidi susulan afidavitnya menyokong semakan kehakiman Najib mengenai perkara itu, sementara ramai pemimpin kanan mula merasakan tekanan akar umbi yang semakin tidak selesa dengan kerjasama mereka dengan PH.
Seorang pemimpin Umno di Perak memberitahu MalaysiaNow, ramai di kalangan pemimpin parti sangat kecewa kerana Zahid berdiam diri mengenai perkara itu walaupun mengetahui mengenai arahan tambahan Agong itu lebih awal.
"Mengapa dia berdiam diri lebih dua bulan mengenai suatu perkara yang besar ini yang didakwanya ditunjukkan kepadanya," kata pemimpin Umno itu yang tidak mahu namanya didedahkan.
Pandangan serupa dikongsi ramai yang lain, termasuk bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil, penyokong setia Najib yang sejak beberapa bulan ini muncul sebagai pengkritik kerajaan paling lantang.
"Selepas Najib memfailkan saman dan isu addendum ini keluar dan tidak boleh ditutup lagi barulah mereka kalut nak buat afidavit untuk lepas tengkuk masing-masing selepas ditanya akar umbi. Sepatutnya Zahid telah membuat kenyataan terbuka berkenaan perkara ini dua bulan lepas, bukan baru sekarang selepas ia menjadi kes mahkamah dan mereka boleh di-subpoena," katanya dalam satu kiriman baru-baru ini.
Dalam afidavitnya bertarikh 9 April, Zahid mengesahkan wujudnya nota tambahan kepada "pengampunan separa" yang diberikan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Najib, sejurus sebelum baginda menamatkan lima tahun di atas takhta sebagai Agong Januari lalu.
Menurut Zahid, beliau ditunjukkan gambar nota adendum oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz pada 30 Jan lepas, iaitu hari terakhir Sultan Abdullah sebagai Agong.
"Apabila saya menyoal lebih lanjut, beliau kemudiannya menunjukkan kepada saya salinan Titah Adendum tersebut pada telefonnya yang beliau ambil gambar/imbas (scan) sendiri daripada salinan asal seperti yang ditunjukkan kepadanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI," kata Zahid dalam afidavitnya, sambil mengatakan peguam negara juga mempunyai salinan adendum itu.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Sejak dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022, pemimpin Umno giat berkempen mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib, seperti yang diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018 yang membenarkan pemimpin PKR itu dibebaskan dari penjara ketika menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat, di samping membenarkannya kembali aktif dalam politik.
Desakan untuk pengampunan diraja semakin kuat selepas Zahid membawa ahli Parlimen Umno untuk bergabung dengan PH.
Penyokong setia Najib, yang dilihat masih berpengaruh dalam parti, merasakan Anwar harus membalas budi Umno yang menyokong PH, sekaligus membolehkan beliau memenuhi impiannya menjadi perdana menteri.
Selepas berbulan-bulan spekulasi dan tekanan terhadap kerajaan, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, dan denda kepada RM50 juta, yang sekiranya dibayar akan membenarkan beliau keluar setahun lebih awal.
Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mendakwa kerajaan menyembunyikan titak adendum oleh Agong itu.
Beliau berkata ini kali pertama titah Agong tidak dikuatkuasakan.
"Mengapa mereka menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong, sedangkan kamu (ada kuasa) mendedahkannya? Mereka harus mendedahkan dan menguatkuasakannya," kata Shafee.
Menurutnya, sesiapa yang "menyembunyikan" perintah itu telah melakukan kesalahan yang serius.
"Tiada siapa boleh sembunyikannya. Ini titah arahan Yang di-Pertuan Agong."
Peguam Haniff Khatri Abdulla memberi amaran, tindakan menyembunyikan titah diraja boleh membawa kepada kesalahan khianat.
Beliau berkata pihak berkuasa sekurang-kurangnya perlu mengakui kewujudan adendum itu, dan sekiranya tidak bersetuju, membuat rayuan kepada Agong untuk membatalkannya.
"Tak boleh ambil dan sembunyi bawah meja," kata Haniff.
Beliau menamakan beberapa pihak yang menurutnya bertanggungjawab mendedahkan adendum sekiranya memang wujud.
Antaranya, Lembaga Pengampunan sepatutnya pihak terawal dimaklumkan mengenai perintah sedemikian, manakala menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, dan Jabatan Perdana Menteri di mana Lembaga Pengampunan itu diletakkan, harus menjelaskan apa sebenarnya berlaku dalam episod itu.
Haniff berkata Anwar juga perlu menyatakan sama ada beliau dimaklumkan mengenai adendum itu.
Selain Anwar dan Zaliha, kata Haniff, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, yang bidang kuasanya meliputi penjara, dan Azalina Othman Said, menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, juga perlu bertanggungjawab.
Pada Rabu, Shafee berkata beliau pernah berkali-kali menulis kepada Anwar dan menteri lain tetapi tidak mendapat jawapan.