- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang kasino dalam usaha pulihkan Forest City, kata laporan

Laporan berkata PM Anwar Ibrahim dan dua taikun baru-baru ini mengadakan perbincangan mengenai idea itu baru-baru ini.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara Forest City yang dibina atas empat pulau buatan manusia, yang kini mendapat jolokan 'bandar hantu'.
Pemandangan dari udara Forest City yang dibina atas empat pulau buatan manusia, yang kini mendapat jolokan 'bandar hantu'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bertemu dengan dua taikun terkemuka minggu lalu untuk membincangkan rancangan membina sebuah kasino di Forest City, lapor Bloomberg memetik sumber.

"Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia," kata laporan itu.

Ia berkata selain bos Berjaya, Vincent Tan dan bos Genting Lim Kok Thay, turut hadir ialah perwakilan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Laporan itu menambah, rundingan masih di peringkat awal, sementara tidak jelas sejauh mana kerajaan serius dengan cadangan meluluskan satu lagi kasino selepas Genting Highlands.

Bagaimanapun, Bloomberg memetik seorang jurucakap Berjaya yang menafikan sebarang pengetahuan mengenai penglibatan syarikat itu dalam membangunkan sebuah kasino di Forest City, manakala Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara tidak membalas pertanyaan.

Laporan itu muncul lapan bulan selepas Anwar mengumumkan penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City untuk meningkatkan ekonomi Johor dan menggiatkan semula projek mega itu yang kini dilabelkan bandar hantu.

Minggu lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata perbincangan mengenai SFZ diadakan dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Anwar di Forest City.

"Banyak perkara telah disentuh, antaranya soal kedudukan terkini kerangka polisi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan SFZ, prospek pelabur-pelabur yang telah menyatakan minat, lokasi-lokasi pilihan, sektor-sektor perniagaan, juga insentif serta pakej-pakej pelaburan yang sesuai untuk ditawarkan," Onn dipetik sebagai berkata.

Laporan Bloomberg berkata pembinaan sebuah kasino akan memberikan nafas baru kepada Forest City yang ditimpa pelbagai masalah menarik pembeli dari China, selepas tindakan Beijing menghalang pengaliran keluar dana, memberi kesan terhadap rakyatnya yang mahu membeli hartanah di luar negara, di samping pandemik Covid-19.

Projek itu ditentang hebat oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, dan sejurus selepas kembali ke tampuk kuasa pada 2018, mengumumkan kerajaan akan menghalang warga asing membeli hartanah di sana.

"Kami tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sana.

"Bantahan kami kerana ia dibina untuk orang asing dan bukan rakyat Malaysia. Kebanyakan warga Malaysia tidak mampu membeli hartanah berkenaan," katanya.

Forest City dibangunkan sebagai "bandar hijau" yang futuristik di atas empat pulau buatan manusia menerusi usahama antara syarikat China, Country Garden Holdings dengan syarikat milik sultan Johor.

Bantahan terhadap Forest City dijadikan antara kempen Mahathir pada pilihan raya umum 2018, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Laporan Bloomberg memetik sumber sebagai berkata, ahli keluarga diraja atau "wakil raja yang sah" boleh dijemput untuk menjadi pemegang saham dalam kasino itu.

MalaysiaNow telah menghubungi PMO dan pegawai kanan lain untuk mendapatkan maklum balas.