Pengaruh Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming dalam parti itu semakin meningkat sejak pilihan raya umum lalu, di sebalik penampilannya yang semakin kerap dalam isu nasional dan dilihat mewakili sentimen pengundi Cina.
Keputusan memilih pembantunya Pang Sock Tao menjadi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu hanyalah contoh kecil pengukuhan kuasa Nga dalam DAP, sebuah parti yang selama ini dapat menutup pertelagahan dalamannya dari mata awam.
Pengaruh Nga dalam DAP akan terus meningkat sekiranya Pang berjaya mengekalkan kerusi PH.
Nga sebelum ini menjadi wajah utama DAP Perak, kubu kuat parti itu di Semenanjung, negeri di mana ia pernah menjadi kerajaan de facto untuk tempoh singkat selepas pilihan raya 2008.
Nga merupakan salah seorang daripada lima naib pengerusi DAP dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.
Pada 2022, beliau menerima 1,252 undi, meletakkannya di tempat ke-12 di kalangan 30 ahli CEC.
Tidak seperti kebanyakan parti politik lain di Malaysia, DAP tidak mempertandingkan apa-apa jawatan khusus dalam pemilihan parti.
Sebaliknya, ahli CEC akan dipilih memegang jawatan melalui konsensus jawatankuasa itu..
Amalan ini mungkin tidak memihak Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, ahli Parlimen Seremban yang dilantik mengetuai parti itu bagi penggal 2022-2025, walaupun sebelum ini dipilih ke dalam CEC dengan jumlah undi ketiga terbesar.
Loke diangkat menjadi setiausaha agung selepas jawatan itu sekian lama didominasi oleh "dinasti Lim" sepanjang lima dekad yang lalu - Lim Kit Siang dari 1970 hingga 1999 dan anaknya Lim Guan Eng dari 2004 hingga 2022.
Loke dilihat mewakili kepentingan Lim dalam kerajaan persekutuan, dan hakikat ini dapat dilihat jelas apabila anak perempuan Kit Siang, Lim Hui Ying, diberi portfolio penting timbalan menteri kewangan walaupun beliau tidak menonjol dalam politik negara.
Dengan pengaruh Nga yang terus berkembang, peluang Loke untuk penggal kedua masih samar, menurut Liew Hui Churn dari Universiti Tunku Abdul Rahman.
“Kemaraan beliau ke tampuk kuasa membolehkan beliau mencabar Loke dalam pemilihan parti akan datang,” katanya.
Liew, yang mengikuti politik dalaman DAP, berkata kepimpinan parti terbahagi kepada dua puak: yang bersekutu dengan Guan Eng atau dinasti Lim, dan mereka yang memihak pasukan Nga.
Selain Loke dan timbalannya Liew Chin Tong, Hannah Yeoh juga tergolong dalam kem Lim.
Manakala pemimpin DAP Perak, Wong Kah Wong, V Sivakumar dan Abdul Aziz Bari pula bersekutu dengan Nga.
Kontroversi demi kontroversi
Kedudukan Nga sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan amat berguna bagi beliau mengawal kempen Kuala Kubu Baharu.
Kerusi DUN itu penting dikekalkan DAP bagi menunjukkan rakan-rakannya dalam kerajaan bahawa sokongannya di kalangan masyarakat Cina masih kuat.
Nga tanpa lengah-lengah mengumumkan projek kerajaan bernilai RM5.2 juta di Kuala Kubu Baharu, dengan memberi alasan ia kerana kawasan itu mempunyai "feng shui yang baik" ketika ditanya mengenai peruntukan mengejut di kerusi yang bakal melalui pilihan raya kecil.
Nga tidak asing daripada kontroversi, terutama yang berkaitan dengan kenyataannya yang berbaur perkauman.
Beliau pernah menyindir Zambry Abdul Kadir sebagai "hitam metalik", ketika menteri pengajian tinggi itu masih menyandang menteri besar Perak.
Pada 2016, beliau mencetuskan kemarahan Umno kerana cuba menggambarkan amalan memberi duit Raya sebagai satu bentuk rasuah.
Pada 2018, Nga dikritik hebat kerana ucapannya yang menyentuh tentang kematian Dr Mahathir Mohamad.
"Bila Mahathir mati... selepas Mahathir mendaftar di 'alam roh' nanti, PRU yang akan datang Mahathir dah tiada, siapa lagi ada cara... dah tak ada kan? Sebab itu kita kena merebut peluang ini... kalau kita terlepas peluang ini, mungkin kena tunggu 60 tahun lagi," kata Nga dalam ucapan sehari sebelum pilihan raya umum yang menyaksikan PH diketuai Mahathir berjaya menamatkan kuasa Barisan Nasional.
Tahun berikutnya, Nga disiasat atas catatan di akaun Facebook dikaitkan dengannya, yang menggesa kaum Cina menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada Sultan Selangor kerana menitahkan papan tanda jalan di negeri itu tidak lagi menggunakan tulisan Cina.
Dalam kempen pilihan raya umum 2022 pula, beliau melabel PAS sebagai parti "Taliban" dan berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan sekiranya PN berkuasa.
Tahun lalu, Nga mempertahankan tindakannya menyerahkan cek menampilkan logo DAP dalam sebuah majlis penyampaian RM1.8 juta peruntukan kerajaan kepada sekolah Cina di Perak.
Baru-baru ini, Nga menjadi sasaran kerana cadangannya agar Kampung Baru Cina diberikan status tapak warisan dunia Unesco, selain kritikannya terhadap usaha memboikot beberapa jenama Barat selari dengan solidariti umat Islam sedunia kepada rakyat Palestin.
Disukai ahli DAP
Seorang pemimpin DAP berkata populariti Nga adalah kerana cara beliau mengemudi parti itu di Perak.
"Dia sudah berjaya meletakkan DAP dalam kedudukan yang mana orang lain terpaksa bertanding dengan kami, baik dalam kalangan PH atau parti-parti lain yang cenderung untuk bekerjasama dengan PH, dan ini termasuk Umno atau mungkin PAS suatu ketika nanti," katanya.
Beliau berkata walaupun populariti Nga merunsingkan DAP, khususnya dalam kem Lim, ia tidak akan menjejaskan perpaduan parti.
Katanya ia berbeza dengan budaya pemilihan dalam PKR.
"Dalam DAP adalah soal siapa yang buat kerja dan menguntungkan parti itu."
Sementara itu, Liew berkata pengaruh dinasti Lim telah mula merudum selepas pilihan raya 2022.
Katanya, rasa kecewa terhadap penguasaan dinasti Lim telah wujud sejak 1980-an.
PRK Kuala Kubu Baharu menawarkan Nga peluang untuk membuktikan popularitinya di luar Perak.
“Sekiranya DAP menang besar, sudah tentu ia memberi pengiktirafan tambahan kepadanya dalam kepimpinan parti,” tambahnya.
Penganalisis Oh Ei Sun berkata Nga sesuai mengetuai kempen DAP di Kuala Kubu Baharu.
"Memandangkan Nga menteri kerajaan tempatan, maka adalah masuk akal orangnya dijadikan calon, dan Pang pula seorang pempengaruh dalam talian yang terkenal di kalangan masyarakat Cina," kata Oh, felo kanan di Singapore Institute of International Affairs.
Bagaimanapun, Oh, yang menyifatkan perebutan kuasa dalam DAP sebagai pertelagahan antara puak yang fasih berbahasa Cina dan yang berbahasa Inggeris, berpandangan Nga bukan ancaman serius kepada Loke.
"Permainan kuasa utama sekarang ialah antara Guan Eng dan Chow Kon Yeow di Pulau Pinang dan bukan di negeri lain," katanya merujuk kepada ketua menteri Pulau Pinang sekarang.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.