- Iklan -
Berita

Mana tindakan terhadap Bloomberg jika laporan kasino palsu, Azmin persoal Anwar

Pengerusi Bersatu Selangor itu berkata rakyat tertanya-tanya mengapa perdana menteri sekadar menafikan laporan itu tanpa apa-apa tindakan membersihkan namanya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali.
Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamed Azmin Ali berkata beliau hairan Anwar Ibrahim masih tidak mengambil tindakan terhadap Bloomberg, susulan laporannya yang mendakwa perdana menteri mempertimbangkan cadangan membuka kasino kedua Malaysia di Johor.

"Dia boleh buat dakwaan macam-macam tetapi sekarang ini, ramai rakyat yang bertanya kalau betul Bloomberg melaporkan sesuatu yang tak betul, kenapa perdana menteri tak buat laporan polis terhadap Bloomberg?" katanya ketika ditemui semasa kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.

Dalam laporan yang diterbitkan minggu lalu, Bloomberg berkata Anwar bertemu dengan ahli perniagaan Vincent Tan dari Berjaya dan Lim Kok Thay dari Genting, serta wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membincangkan sebuah cadangan membuka kasino di Forest City.

"Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia," kata laporan itu, yang menyifatkan perbincangan itu masih di "peringkat awal".

Ketika ditanya pemberita, Anwar berkata laporan itu satu pembohongan, tetapi tidak menyatakan sama ada akan menuntut syarikat media berpangkalan di AS itu menarik balik laporan tersebut. 

Sebaliknya, Anwar menyeru semua pihak yang dinamakan dalam artikel itu untuk "mengambil tindakan yang perlu".

Ia disusuli penafian daripada Berjaya dan Genting Berhad, kedua-duanya syarikat yang terlibat dalam industri perjudian tempatan.

Azmin, yang merupakan sekutu Anwar selama beberapa dekad sebelum permusuhan mereka membawa kepada perpecahan PKR pada 2020, turut ditanya sama ada pendirian untuk tidak mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya mencerminkan sikap Anwar yang sebenar.

"Itu yang jadi persoalan umum di kalangan rakyat, kalau parti-parti politik ditekan dengan begitu keras, mengapa dengan Bloomberg, dia tidak berani ambil tindakan?

"Itu yang saya lontarkan soalan itu. Mengapa? Sebab rakyat pun bertanya," kata Azmin, yang juga pengerusi Bersatu Selangor dan ketua pembangkang negeri.

Pandangan Azmin itu selari dengan gesaan peguam Haniff Khatri Abdulla, yang menyeru Anwar mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Haniff berkata beliau tidak faham permintaan Anwar supaya pihak lain yang disebut dalam laporan Bloomberg itu mengambil tindakan, sedangkan sebagai pemimpin sebuah negara Islam, reputasi Anwar yang dipertaruhkan.

Menurutnya, walaupun laporan itu memberikan persepsi buruk terhadap pemimpin Islam, ia mungkin meningkatkan kredibiliti dua ahli perniagaan berkenaan kerana mereka tidak menganggap amalan judi sebagai dosa.

"Tapi yang jatuh maruah adalah dia (Anwar). Memang kena ambil tindakan (undang-undang). Bagi saya tidak ada alasan sebab pertama dia kata laporan itu palsu dan kedua dia nyatakan siapa yang dinamakan kena ambil tindakan. Dialah tu!" kata Haniff.

Azmin turut mempersoalkan gesaan Anwar supaya pihak lain mengambil tindakan.

"Mengapa suruh syarikat-syarikat yang dikaitkan sahaja sedangkan nama besar yang dikaitkan adalah perdana menteri?"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.