- Iklan -
Berita

Jangan sorok belakang institusi raja, peguam beritahu Anwar ketika laporan kasino Bloomberg masih kekal

Perdana menteri diingatkan laporan itu diterbitkan sebuah saluran berita terkemuka, sama seperti bagaimana skandal 1MDB didedahkan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim menuduh pengkritiknya sebagai 'penjahat' yang perlu dipenjarakan.
Anwar Ibrahim menuduh pengkritiknya sebagai 'penjahat' yang perlu dipenjarakan.

Sekumpulan peguam melahirkan rasa terkejut dengan ancaman Anwar Ibrahim untuk memenjarakan sesiapa yang mengulas mengenai laporan Bloomberg yang mendakwa kerajaan mempertimbangkan kasino kedua di Johor, dan berkata perdana menteri dilihat kerap cuba melibatkan institusi raja dalam mempertahankan penggunaan undang-undang drakonian.

Lawyers for Liberty (LFL) yang berulang kali mengutuk penangkapan pengkritik kerajaan, berkata Anwar dalam ucapannya kepada penjawat awam semalam cuba mewajarkan tindakan itu dengan memberi alasan menjaga institusi diraja, sedangkan kritikan itu ditujukan kepada dirinya sendiri yang dididakwa terlibat dalam rundingan membina kasino.

“Perdana Menteri tidak boleh berselindung di sebalik institusi raja untuk menutup kritikan awam atau komen terhadap dirinya sendiri,” kata Pengarah LFL, Zaid Malek.

“Kami juga perhatikan bahawa kini terdapat corak tingkah laku di mana Anwar menggunakan institusi raja sebagai alasan untuk menggunakan undang-undang menindas seperti Akta Hasutan. Cara pintu belakang ini untuk menghalalkan penafian kebebasan bersuara dan penggunaan undang-undang yang menindas mesti dihentikan.”

Zaid mempersoalkan Anwar kerana menyasarkan pihak yang salah dalam membersihkan namanya.

“Anwar atau kerajaan masih tidak mengambil langkah untuk menuntut laporan kasino itu ditarik balik mahupun mengambil sebarang bentuk tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atau laman berita lain berhubung dakwaan itu, dan berita itu masih boleh diakses oleh sesiapa sahaja dalam talian,” katanya.

“Setelah memilih untuk tidak melakukannya, mengapa pula menyasarkan orang ramai yang mengulas berita atau menyatakan kebimbangan atau kritikan mengenainya?”

Beliau berkata ancaman perdana menteri untuk menghumban pengkritik ke dalam penjara adalah "salah, tidak pernah berlaku dan membimbangkan".

“Bukan tugas atau kuasa perdana menteri untuk mengancam menangkap atau memenjarakan orang. Begitu juga, bukan tugasnya memutuskan sama ada seseorang melakukan jenayah,” katanya sambil menambah perdana menteri tidak harus mengambil alih peranan polis dan badan kehakiman.

Zaid berkata adalah mengejutkan bahawa ancaman seperti itu datang daripada seorang pemimpin yang pernah dilihat sebagai pendokong pembaharuan di Malaysia.

“Menurut mana-mana piawaian, ia menjurus ke arah pemerintahan autoritarian.”

Semalam, Anwar, sambil menyifatkan pihak yang menggesa beliau menjelaskan laporan Bloomberg minggu lalu sebagai "penjahat", mendakwa mereka menuduhnya meluluskan cadangan membina kasino.

“Mereka ini sepatutnya menggantikan bilik-bilik saya di Sungai Buloh dulu,” kata Anwar merujuk kepada Penjara Sungai Buloh di mana beliau pernah menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Kenyataan itu disusuli siri tangkapan di bawah Akta Hasutan berkait ulasan mengenai laporan Bloomberg itu, yang mencetuskan perbahasan di media sosial.

Anwar digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, dengan pengkritik mengatakan penafian semata-mata tidak mencukupi untuk membersihkan namanya.

Setakat ini, Bloomberg belum memadam atau menarik balik artikelnya.

Dalam laporan yang diterbitkan minggu lalu, Bloomberg berkata Anwar bertemu dengan ahli perniagaan Vincent Tan dari Berjaya dan Lim Kok Thay dari Genting, serta wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membincangkan sebuah cadangan membuka kasino di Forest City.

"Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia," kata laporan itu, yang menyifatkan perbincangan itu masih pada "peringkat awal".

Ketika ditanya pemberita, Anwar berkata laporan itu satu pembohongan, tetapi tidak menyatakan sama ada akan menuntut syarikat media berpangkalan di AS itu menarik balik laporan tersebut.

Sebaliknya, Anwar menyeru semua pihak yang dinamakan dalam artikel itu untuk "mengambil tindakan yang perlu".

Ia disusuli penafian daripada Berjaya dan Genting Berhad, kedua-duanya syarikat yang terlibat dalam industri perjudian tempatan.

Zaid berkata Bloomberg sebuah organisasi berita yang bereputasi, seperti The Wall Street Journal yang pernah mendedahkan skandal 1MDB melibatkan Najib Razak sehingga mencetuskan kemarahan Anwar dan ahli politik Pakatan Harapan yang lain.

“Di bawah Najib, tindakan polis diambil terhadap mereka yang bersuara mengenai isu itu, sama seperti Anwar kini yang mengancam mahu memenjarakan sesiapa yang bercakap mengenai isu kasino,” tambahnya lagi.

Zaid berkata isu itu bebas dibincangkan sesiapa sahaja kerana ia merupakan hak perlembagaan yang termaktub di bawah Perkara 10, sambil menambah peruntukan itu juga yang "pernah digunakan Anwar dan rakan-rakannya dalam PH" ketika mereka berdepan tindakan pihak berkuasa.

“Kini, mereka pula yang menganggap (peruntukan itu) satu bentuk halangan.”