Kedudukan Malaysia jatuh daripada 73 kepada 107 dalam Indeks Kebebasan Media 2024 yang menilai situasi media sejak pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran Pakatan Harapan.
Laporan tahunan yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF) itu, yang menilai kebebasan media di 180 negara, turut meletakkan Malaysia pada 52.07 mata berbanding 62.83 mata pada tahun lalu.
Dalam kalangan negara jiran, Thailand menunjukkan peningkatan, naik ke tangga ke-87, menjadikannya negara dengan kebebasan media paling tinggi di rantau Asean.
Laporan terbaru itu berdasarkan penilaian landskap media sepanjang tahun 2023, tahun yang menyaksikan siri tindakan terhadap media dalam talian dan penulis blog, menjadikannya penilaian pertama mengenai kebebasan media di bawah kerajaan Anwar.
Malaysia sebelum ini mencapai kedudukan terbaik di tangga ke-73 untuk tahun 2022, berbanding 113 pada tahun sebelumnya, sekaligus berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Asean.
"Kerajaan mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani isu sensitif atau daripada mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan," kata RSF dalam nota ringkas yang disertakan bersama laporan indeks tersebut.
"Pihak berkuasa memburu wartawan penyiasatan, dan raja-raja adalah subjek yang sangat sensitif, begitu juga perbincangan mengenai kaum dan agama. Sebarang bentuk ulasan atau laporan yang dianggap kritikal terhadap raja boleh mengakibatkan pendakwaan, yang membawa kepada sikap menapis diri (self-censorship) yang meluas mengenai perkara itu," kata RSF dalam memberikan gambaran keseluruhan landskap media di Malaysia.
Laporan tersebut muncul ketika kerajaan terus menyekat portal berita dan blog di samping meminta platform media sosial menurunkan kandungan yang mengkritik kerajaan.
Awal tahun ini, Putrajaya mengakui meminta pengendali platform seperti TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan SKMM.
Sebaik sahaja menubuhkan kerajaan pada November 2022, platform seperti TikTok diancam kerajaan kerana digunakan meluas oleh penyokong pembangkang.
Sejak memulakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab hal internet, Fahmi Fadzil dikritik kerana tindakan menyekat laman berita.
Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.
Sementara itu, sekatan laman TV Pertiwi dan Utusan TV masih kekal, begitu juga blog yang dikendalikan bekas ahli parlimen Wee Choo Keong.
Tahun lalu, Wee diberi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap SKMM kerana menyekat akses ke blognya.
RSF turut mengkritik tindakan kerajaan menyekat kebebasan bersuara.
"RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cédric Alviani pada September lalu.