- Iklan -
Berita

Pengundi India di Kuala Kubu Baharu tampil sebagai 'kingmaker' ketika PH masih impikan sokongan Melayu

Setakat ini, PH dan BN masih jauh ketinggalan dalam usaha memenangi hati pengundi Melayu.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pengundi dari komuniti India di Kuala Kubu Baharu yang tidak berpuas hati meningkat bakal tampil sebagai 'kingmaker' pada pilihan raya kecil 11 Mei ini.
Pengundi dari komuniti India di Kuala Kubu Baharu yang tidak berpuas hati meningkat bakal tampil sebagai 'kingmaker' pada pilihan raya kecil 11 Mei ini.

Belum reda dengan sentimen Melayu menolak calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) yang semakin besar, timbul pula isu ketidakpuasan hati masyarakat India di Kuala Kubu Baharu yang dilihat semakin lantang mempersoalkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Trend terbaharu ini akan menjadi satu lagi masalah kepada PH untuk mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Kemungkinan sokongan daripada kelompok yang meliputi 18% daripada jumlah pengundi itu berpindah kepada Perikatan Nasional (PN) tidak boleh ditolak buat masa ini, sekaligus menjadikan masyarakat India sebagai "kingmaker" di Kuala Kubu Baharu.

Bukan sahaja pengundi India, seramai 2,000 pengundi Orang Asli juga menjadikan pertandingan kali ini antara paling sengit yang pernah dilihat di kerusi ini.

Poster calon Bersatu Khairul Azhari Saut (kiri) dan Pang Sock Tao dari DAP dipasang sepanjang jalan di Kuala Kubu Baharu ketika menjelangnya pilihan raya kecil 11 Mei ini.
Poster calon Bersatu Khairul Azhari Saut (kiri) dan Pang Sock Tao dari DAP dipasang sepanjang jalan di Kuala Kubu Baharu ketika menjelangnya pilihan raya kecil 11 Mei ini.

Kuala Kubu Baharu, dengan 40,226 pengundi, merupakan kerusi campuran, dan turut mempunyai 46% pengundi Melayu dan 30% Cina.
 
Risiko PH ditolak masyarakat India turut diakui Charles Santiago, antara pemimpin India DAP yang digugurkan oleh parti itu pada pilihan raya lalu.

"Orang tidak berminat dengar ceramah. Mereka mahukan saluran yang boleh suarakan tentang masalah yang dihadapi,” kata Santiago.

Bekas ketua Pemuda MIC Sivarraajh Chandran juga setuju wujud sentimen tidak puas hati masyarakat India terhadap kerajaan pusat.

“Sepanjang turun padang di sini, saya dapat banyak keluhan tidak puas hati masyarakat India terhadap kerajaan sekarang dan perdana menteri,” katanya, namun yakin ia tidak akan diterjemahkan kepada sokongan untuk PN.

Bagaimanapun, Sivarraajh berkata apa yang dibimbangi adalah sekiranya masyarakat India tidak keluar mengundi.

Kebimbangan itu berikutan daripada usaha bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, yang turun padang ke Kuala Kubu Baharu mengajak pengundi India untuk "menghukum" PH.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Siva, 56, berkata isu ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam hal pekerjaan dan peluang ekonomi merupakan aduan utama kaum India terhadap Anwar.

“Sebelum ini dia banyak berjanji untuk membantu isu berkaitan komuniti India termasuklah isu kualiti pendidikan, penambahbaikan dalam infrastruktur sekolah Tamil dan juga isu perumahan," Siva, seorang peniaga runcit, memberitahu MalaysiaNow.

Pertarungan di kawasan Melayu

Perbualan MalaysiaNow bersama pemimpin tempatan khususnya akar umbi Umno di kawasan itu mendapati perpindahan undi Melayu yang selama berdekad setia kepada Barisan Nasional (BN) tidak dapat dikekang lagi.

Kontroversi "titah tambahan" berkait pengampunan diraja untuk Najib Razak, dan kemarahan akar umbi Umno terhadap kerjasama parti itu dengan PH, kekal sebagai pemangkin untuk perpindahan sokongan kepada PN.

Seorang pemimpin Umno Bahagian Hulu Selangor mengakui wujudnya "kemarahan yang jelas" dalam kalangan penyokong Umno terhadap cara pentadbiran Anwar menguruskan kontroversi menyelubungi pengampunan diraja Najib, bekas presiden Umno yang masih berpengaruh dalam kalangan akar umbi parti itu.

Beliau yang enggan namanya diterbitkan mendakwa Anwar dan kerajaan PH "berdiam diri dan cuba menyembunyikan" nota tambahan Yang di-Pertuan Agong kepada Lembaga Pengampunan, yang menurut peguam Najib mengarahkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di rumah.

“Ahli Umno merasakan tindakan itu (menyembunyikan nota) tidak adil dan menyusahkan Najib secara politik,” katanya.

Anwar sebelum ini cuba mengelak daripada kontroversi itu, walaupun perdana menteri merupakan sebahagian daripada Lembaga Pengampunan.

Isu itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno, memfailkan afidavit pada bulan lalu menyokong permohonan Najib dengan mengesahkan nota tambahan itu sememangnya wujud dan ditulis oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sejurus sebelum menamatkan takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Januari lalu.

Zahid berkata gambar nota itu ditunjukkan kepadanya oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz.

Ia menimbulkan persoalan mengapa Zahid menunggu lebih dua bulan untuk mendedahkan perkara itu, di samping dakwaan Anwar cuba menyembunyikannya.

Seorang pemimpin Umno berkata sentimen "romantisasi" Melayu turut memainkan faktor penolakan masyarakat itu terhadap calon gabungan pemerintah.

Menurutnya, sentimen tersebut sangat kuat sejak pilihan raya umum 2018, yang menyaksikan kejatuhan Umno dari tampuk kuasa.

“Sentimen ini bukan berlaku di Kuala Kubu Baharu sahaja tapi satu Malaysia."

Kemarahan ini ditambah dengan hakikat bahawa calon PH, Pang Sock Tao adalah pengikut setia Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, ahli politik penuh kontroversi disebabkan pelbagai kenyataan dan tindakan yang mengundang tuduhan perkauman oleh kumpulan Melayu terhadap beliau.

“Pengundi Melayu tidak boleh terima jika ada orang yang mencabar hak orang Melayu,” tambah pemimpin Umno itu lagi.

Menurutnya, ahli Umno sememangnya tidak akan senang bekerjasama dengan DAP.

“Jadi apabila presiden Umno akur dengan keputusan PH untuk meletakkan calon DAP dan seorang calon bukan Melayu, memang tentangan itu sangat hebat.

“Ini apa yang selalu diluahkan mereka kepada kami pemimpin akar umbi, dan kami sendiri pun sebenarnya kehabisan hujah untuk mempertahankan Umno,” katanya.

Ampang Pecah, Batang Kali 'kritikal'

Seorang petugas Umno yang menguruskan daerah mengundi Ampang Pecah berkata kini hanya tinggal 500 "pengundi putih" berbanding 4,000 ketika PRU14 pada 2018.

“Batang Kali dah jadi kawasan hitam untuk kita sebenarnya. Kita hilang 90% pengundi putih.

Presiden PN Muhyiddin Yassin bersama Khairul Azhari Saut pada ceramah di Kuala Kubu Baharu. Pembangkang berharap dapat menggunakan kemarahan Melayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ketidakpuasan hati minoriti India yang semakin meningkat dalam meraih sokongan pada PRK Kuala Kubu Baharu nanti.
Presiden PN Muhyiddin Yassin bersama Khairul Azhari Saut pada ceramah di Kuala Kubu Baharu. Pembangkang berharap dapat menggunakan kemarahan Melayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ketidakpuasan hati minoriti India yang semakin meningkat dalam meraih sokongan pada PRK Kuala Kubu Baharu nanti.

“Keadaan kita sebenarnya agak kritikal kerana Batang Kali dan Ampang Pecah mewakili pengundi Melayu terbanyak di kerusi DUN Kuala Kubu Baharu,” kata lelaki itu yang juga enggan namanya disiarkan.

Katanya kehilangan sokongan Melayu kepada Umno paling ketara pada pilihan raya negeri tahun lepas.

“Sebab itu ketika ini memang jentera sedang menggandakan usaha. Antara strategi kita adalah dapatkan bantuan daripada jentera parti seluruh negara.

“Datang bantu kita di sini dan mereka akan pergi pintu ke pintu, tumpukan kepada pengundi putih Umno dan pujuk mereka,” katanya.

Di samping isu politik dan calon DAP, kritikan terhadap kerajaan negeri dan masalah infrastruktur di Kuala Kubu Baharu juga menjadi faktor rasa tidak puas hati pengundi.

“Terdapat keluhan berterusan daripada pengundi mengenai kekurangan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan aksesibiliti pendidikan di kawasan ini,” kata pemimpin Umno itu lagi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.