- Iklan -
Berita

Anwar tersenarai berucap di forum Bloomberg ketika kontroversi laporan kasino masih berterusan

Perdana menteri berdepan tekanan membersihkan namanya yang dikaitkan dengan dakwaan pembinaan kasino.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Anwar Ibrahim bakal berucap pada sebuah forum tahunan anjuran Bloomberg, agensi berita kewangan berpangkalan di Amerika Syarikat yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas laporannya mendakwa perdana menteri mengadakan perbincangan membina kasino kedua di Malaysia, disusuli beberapa penangkapan dan soal siasat terhadap wartawan.

Forum Ekonomi Qatar tajaan Bloomberg yang akan diadakan dari 14 hingga 16 Mei di Doha itu menyenaraikan Anwar sebagai salah satu ketua kerajaan yang akan menyampaikan ucapan.

Kehadiran Anwar di forum dikaitkan dengan Bloomberg berkemungkinan menimbulkan persoalan daripada pengkritik yang menggesa beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap saluran berita kewangan itu untuk membersihkan namanya berhubung laporan bulan lepas.

Dalam laporannya, Bloomberg mendakwa Anwar bertemu dengan ahli perniagaan Vincent Tan dari Berjaya dan Lim Kok Thay dari Genting, serta wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membincangkan sebuah cadangan membuka kasino di Forest City, Johor.

“Anwar, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli perniagaan mengadakan mesyuarat makan tengah hari mengenai kemungkinan meluluskan lesen untuk kasino kedua Malaysia,” kata laporan itu, yang menyifatkan perbincangan itu masih pada “peringkat awal”.

Ketika ditanya pemberita, Anwar berkata laporan itu satu pembohongan, tetapi tidak menyatakan sama ada akan menuntut syarikat media berpangkalan di AS itu menarik balik laporan tersebut.

Sebaliknya, Anwar menyeru semua pihak yang dinamakan dalam artikel itu untuk "mengambil tindakan yang perlu".

Setakat ini, Bloomberg belum memadam atau menarik balik artikelnya.

Minggu lepas, dua aktivis, Badrul Hisham Shaharin dan Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa atas tuduhan menghasut kerana menaikkan komen memetik dakwaan Bloomberg itu.

Terdahulu pesawah Azman Md Yusof, 45, didakwa di bawah Akta Hasutan atas komennya dalam sebuah grup WhatsApp yang turut memetik laporan tersebut.

Ketiga-tiga mereka dituduh menghina Yang di-Pertuan Agong.

Polis turut memanggil wartawan Bloomberg Ram Anand yang dikatakan salah seorang yang menyumbang kepada laporan itu.

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, bagaimanapun menafikan mereka menghina Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya berkata hanya mahu Anwar mengambil tindakan terhadap Bloomberg kerana membuat tuduhan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
 
Siri penangkapan itu dikutuk kumpulan hak asasi manusia.

Suara Rakyat Malaysia menggesa kerajaan menghentikan pemburuan ke atas mereka yang mengkritik kerajaan manakala Lawyers for Liberty (LFL) memberi amaran kepada Anwar supaya tidak mengheret institusi raja dalam mempertahankan penggunaan undang-undang drakonian.

“Anwar atau kerajaan masih tidak mengambil langkah untuk menuntut laporan kasino itu ditarik balik mahupun mengambil sebarang bentuk tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atau laman berita lain berhubung dakwaan itu, dan berita itu masih boleh diakses oleh sesiapa sahaja dalam talian,” kata LFL.

“Setelah memilih untuk tidak melakukannya, mengapa pula menyasarkan orang ramai yang mengulas berita atau menyatakan kebimbangan atau kritikan mengenainya?”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.