- Iklan -
Berita

Selepas kalah di Kuala Kubu Baharu, persoalan timbul mengenai tawaran nilai PN

Kekal popular dalam kalangan Melayu, kini PN perlu meraih sokongan bukan Melayu untuk mencapai kemenangan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Rasa tidak puas hati kaum India terhadap kerajaan masih gagal diterjemahkan kepada undi untuk PN di Kuala Kubu Baharu.
Rasa tidak puas hati kaum India terhadap kerajaan masih gagal diterjemahkan kepada undi untuk PN di Kuala Kubu Baharu.

Selepas tewas di kerusi negeri Kuala Kubu Baharu meskipun rata-rata mengekalkan sokongannya, Perikatan Nasional (PN) kini berdepan persoalan tawaran nilai atau "value proposition" dalam usaha menambahkan sokongan melampaui pengundi sedia ada. 

Gabungan pembangkang disertai PAS, Bersatu dan Gerakan itu kini meneguasai lebih 70 kerusi di Parlimen, di samping menyerlahkan kekuatannya di negeri-negeri yang pernah digelar kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seperti Selangor dan Pulau Pinang.

Pada masa sama, ia juga menguasai empat negeri penting di Semenangjung: Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menunjukkan gabungan didominasi Melayu-Islam itu gagal meraih sokongan daripada pengundi baharu selain daripada apa yang dimilikinya pada pilihan raya umum dan negeri yang lalu.

Sudah tentu tumpuan post-mortem kekalahannya adalah sama ada perlu ada tawaran nilai baru dan perubahan strategi untuk meluaskan mengaruhnya.

Apa yang boleh ditawarkan kepada semua pengundi, bukan sahaja kepada orang Melayu?

Seorang penganalisis memetik tanggapan yang mengatakan PN "mengguris hati pengundi bukan Melayu", menjadikan ia halangan untuk mengembangkan sayap. 

"Lebih daripada itu, ia perlu menjalankan amanahnya sebagai pembangkang, bukannya meratib yang kerajaan sedia ada akan jatuh pada bila-bila masa," kata Tunku Mohar Mokhtar yang mengajar Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa.

Menurutnya, politik berteraskan sentimen agama dan etnik perlu dihentikan. 

Ia satu pandangan dikongsi Ilham Centre, badan yang kerap membuat kajian lapangan di kalangan pengundi dan baru-baru ini menjangkakan kekalahan PN. 

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata PN perlu tumpu kepada "pemasaran" baharu dengan melebarkan capaian kepada pengundi bukan Melayu.

Hisomuddin berkata kaum India di Kuala Kubu Baharu, yang dikatakan semakin condong ke arah PN, masih melihat PAS sebagai "ekstrim", tuduhan yang sekian lama dilontarkan DAP dan sekutu rapatnya Amanah terhadap parti Islam itu. 

Katanya realiti lanskap politik Malaysia memerlukan PN mendapat sokongan kaum lain sebagai pelengkap kemenangan. 

"Satu kaum tidak mampu berdiri sendiri. Formula merangkul kaum lain selari dengan demografi yang majmuk di Malaysia," katanya kepada MalaysiaNow.

Timbul pula persoalan sama ada PN akan dilihat mengorbankan identiti Melayu-Islam dalam usaha menarik sokongan bukan Islam. 

Hisomuddin berkata ia bukan sukar, dan menyeru PN menguruskan kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka oleh orang Melayu.

"Mereka hanya perlu memberikan rasional kepada majoriti yang telah bersama PN," tambahnya.

Bekas menteri Zaid Ibrahim mempunyai cadangan yang lebih radikal.

Katanya, sudah tiba masanya pemimpin tertinggi Bersatu dan PAS, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang, memberikan laluan.

"Melihat kembali, PH menang besar kerana PN tiada apa untuk ditawar; memang tiada apa langsung. Pemimpin-pemimpinnya sangat tua, bukan sahaja pada usia tetapi pada idea," katanya dalam satu hantaran X.

Diminta penjelasan lanjut, Zaid berkata ahli parti yang akan menentukan siapakah yang bakal memimpin dua parti itu harus diberikan ruang untuk berbincang secara terbuka mengenai jenis pemimpin yang diingini mereka.

KKB_Ceramah_Muhyiddin_Mnow_300424Jurucakap utama Bersatu bagaimanapun tidak setuju, dan berkata PRK Kuala Kubu Baharu yang dianggap kubu DAP tidak boleh dijadikan kayu ukur prestasi PN.

"Parti masih memerlukan orang seperti Muhyiddin dan Hadi. Parti kita ada struktur tersendiri dan kita ada pemilihan parti yang mana kita tidak menyekat orang untuk bertanding," Razali Idris, ketua penerangan Bersatu, memberitahu MalaysiaNow. 

Razali berkata Muhyiddin telah bersedia mengundur diri tetapi tawaran itu ditolak Bersatu. 

Tetapi beliau mengakui wujud keperluan untuk PN merangka strategi mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Zaid mencadangkan naratif yang lebih membela nasib golongan miskin sebagai tawaran nilainya. 

"Malaysia perlu perancangan ekonomi yang adil dan seimbang. Adil antara kumpulan berpendapatan rendah dengan golongan kaya. Adil antara Melayu dan bukan Melayu.

"Sekarang, polisi kita dikawal monopoli dan taikun," katanya kepada MalaysiaNow. 

Zaid yakin kepimpinan PN mampu membawa perjuangan sedemikian. 

"PN mempunyai pemimpin untuk merancang polisi ekonomi dengan lebih baik untuk 70% pengundi Malaysia," katanya, merujuk kepada masyarakat Melayu yang masih kekal penyokong setia gabungan itu.

Zaid berkata walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerap menyentuh isu kemiskinan, polisi kerajaan setakat ini telah gagal.

"Cakap memang mudah. Polisi apa yang kita ada? Keluaran Dalam Negara Kasar telah meningkat 24 kali ganda sejak kemerdekaan tetapi gaji untuk pekerja kilang hanya meingkat dua kali," katanya.

Pilihan raya umum ke-16 perlu diadakan menjelang 2027, menimbulkan persoalan sama ada PN sempat melakukan perubahan.

Hisomuddin yakin, dan berkata masih ada masa untuk gabungan itu memperkenalkan pelan politik baharu bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu untuk melengkapkan gabungan tersebut.

"PN perlu lebih kreatif bagi menembusi segmen yang kelihatan kebal buat mereka. 

"Tanpa sumbangan undi dari pengundi bukan Melayu, PN sukar untuk menggapai kunci kemenangan pada PRU-16."