- Iklan -
Berita

AS 'sahabat ingin tahu', berhak tuntut penjelasan mengenai tuduhan aliran wang kepada 'pengganas', kata Anwar

Perdana menteri ditanya sama ada pendirian pro-Palestin Malaysia akan menjejaskan hubungan dengan Washington.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata AS berhak menuntut penjelasan Malaysia berhubung dakwaan aliran wang kepada entiti 'pengganas'.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata AS berhak menuntut penjelasan Malaysia berhubung dakwaan aliran wang kepada entiti 'pengganas'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat tidak secara khusus menjawab pertanyaan sama ada hubungan Malaysia dengan kumpulan pembebasan Palestin Hamas menjejaskan hubungan dengan Amerika Syarikat, sebaliknya berkata Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari AS, malah beliau menghormati hak Washington untuk menyoal kerajaannya berhubung dakwaan melanggar sekatan ekonomi dikenakan terhadap Iran dan entiti lain yang dilabel "pengganas".

"Saya amat jelas iaitu hubungan kami sangat kuat dengan China, saya tidak mengamalkan Sinofobia (anti-China), kami (AS dan Malaysia) merupakan sekutu secara tradisi, dan sebahagian besar pelaburan AS masih sedang masuk.... sudah tentu Jerman. .. pelabur baharu dari Timur Tengah... Qatar... tetapi dari AS... Microsoft, Google, Nvidia semua ada, dan mereka datang secara agresif ke Malaysia, dan kami mengalu-alukan mereka," kata Anwar ketika disoal mengenai pertemuannya dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Qatar baru-baru ini.

Anwar bercakap kepada Bloomberg pada satu sesi temuramah di Forum Ekonomi Qatar di Doha semalam.

Ditanya sekali lagi mengenai kebimbangan AS terhadap aliran wang ke Hamas yang kononnya melibatkan Malaysia, Anwar berkata tidak ada bukti mengenainya, sambil menambah hubungannya dengan Hamas hanya dengan sayap politik pergerakan itu.

"Saya tiada penglibatan, tiada perbincangan dengan aparatus tentera, itu amat jelas," kata Anwar.

"Mereka (AS) sudah tentu mempunyai hak untuk menuntut atau meminta penjelasan. Kami melakukannya kepada rakan yang ingin tahu apa yang sedang berlaku," katanya.

Kenyataan itu lebih berhati-hati daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution sebelum ini, yang menegaskan Malaysia tidak perlu mematuhi apa-apa sekatan unilateral melainkan yang diluluskan oleh PBB.

Minggu lepas, AS menghantar dua pegawai Perbendaharaan dalam apa yang dilihat sebagai amaran kepada Malaysia supaya menghentikan semua perdagangan dan transaksi dengan entiti yang dilabelnya "pengganas".

Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson dan peguam Perbendaharaan AS Neil MacBride mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution serta beberapa ahli parlimen dan pegawai lain, di mana Malaysia dilaporkan "mengambil maklum" tentang kebimbangan disuarakan AS.

Sebelum ini, MalaysiaNow memetik sumber diplomatik yang berkata lawatan itu bertujuan menghantar mesej dan amaran jelas dari Washington kepada pemimpin yang dianggapnya sekutu supaya mengikut telunjuknya.

Seorang bekas diplomat berkata lawatan seperti itu tidak mungkin berlaku semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, yang terkenal dengan sikap lantang terhadap Israel dan sekutu Baratnya.

"Kalau dia (Mahathir), sudah pasti mereka diminta berambus, supaya sebelum apa-apa perbincangan pun, pegawai-pegawai itu menyedari peluang mereka tipis untuk membuli sekutu mereka," katanya.

Bercakap kepada media pada akhir lawatannya ke Qatar, Anwar mengakui terdapat "keresahan di kalangan sahabat di Barat" berhubung pertemuannya dengan Haniyeh, dan mengulangi bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan sayap tentera Hamas.

"Jadi ini yang kita jelaskan dan saya percaya rakan-rakan kita akan bangkitkan bahawa tiada sebab mengapa tak boleh adakan perbincangan itu sebab Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas," katanya dipetik Berita Harian.

"Hamas punya hak untuk pertahankan wilayah yang dijajah oleh kuasa asing, tetapi kita ambil pendekatan menyokong usaha damai untuk berhubung dengan badan politik Hamas dan tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti ketenteraan."